PETALING JAYA – Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menumbuk muka jirannya di bazar Ramadan, minggu lepas.
Syamiluddin Amatakin, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.
Lelaki itu didakwa telah menyebabkan kecederaan ke atas Haslinda Abd. Majid, 31, di hadapan Sekolah Rendah Agama Taman Medan, di sini, pada 7.30 petang, 12 Jun lepas.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh dilarang menganggu mangsa.
Syamiluddin yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan dia perlu menanggung kedua ibu bapanya di kampung.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan selain menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA