MIAMI – Penyanyi rap terkenal yang juga juara carta, XXXTentacion maut ditembak pada waktu siang di Pantai Deerfield, utara Miami di sini, semalam.
Jabatan Sherif Broward County dalam satu kenyataan berkata, penyanyi berusia 20 tahun dengan nama sebenar Jahseh Onfroy itu ditembak ketika sedang berada berhampiran sebuah kedai motosikal dan disahkan meninggal dunia sewaktu dirawat di hospital berdekatan.
XXXTentacion yang terkenal dengan irama ciptaan sendiri menduduki senarai teratas carta muzik Amerika Syarikat tahun ini.
Mendiang adalah antara bintang hip hop terkenal yang maut dibunuh beberapa tahun kebelakangan ini selepas beberapa siri pembunuhan pada era 1990an.
Jurucakap jabatan sherif enggan memberikan maklumat lanjut manakala wakil XXXTentacion tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen.
Laman sesawang selebriti berkenaan, TMZ memetik rakaman audio panggilan dibuat ke jabatan sherif berkata, dua suspek yang memakai hud termasuk penembak bertopeng merah turut mencuri beg berjenama Louis Vuitton dari kenderaan milik mendiang, sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Anak jati Florida dan terkenal dengan fesyen rambut ‘dreadlock’, XXXTentacion mula menjadi kegilaan ramai apabila berkongsi lagu-lagunya di laman perkongsian SoundCloud, sebahagian besar berkisarkan kisah hidup mendiang yang mengalami masalah kemurungan serta jenayah lampau dilakukannya sebelum berjaya sebagai penyanyi.
Tanpa sebarang promosi, album kedua penyanyi itu yang diberi tajuk ‘?’ menjuarai carta album Billboard pada Mac lalu. – AFP/BH ONLINE