PELAKON popular, Kamal Adli sedar dirinya bakal dihujani dengan soalan tipikal membabitkan soal kahwin dan jodoh dalam kalangan keluarga serta teman bila menjelang Aidilfitri nanti.
Begitupun, jejaka ini dilihat tidak mudah melatah mahupun bosan setiap kali diajukan mengenai hal seumpama itu sebaliknya sentiasa tenang dan bijak berbicara berkaitan hal peribadi dirinya itu.
Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, berkata dia percaya pada takdir dan soal jodoh itu terletak di tangan Tuhan. Justeru, dia memohon orang ramai mendoakan yang baik-baik sahaja buat dirinya.
“Kalau ikut hati, memang saya mahu menjadikan Aidilftri kali ini sebagai sambutan raya terakhir sebagai orang bujang.
“Tapi siapalah saya untuk cakap soal jodoh kerana ia ketentuan Allah. Namun saya mengharapkan orang bertanya itu mendoakan yang baik-baik untuk saya,” katanya dipetik Harian Metro.
Meskipun selama ini sering dikaitkan dengan Emma, aktor yang bakal menyambut Aidilfitri di Pekan, Pahang ini bagaimanapun akui tidak berani bercakap soal jodoh dengan pelakon wanita terbabit.
“Kalau benar sudah tertulis jodoh saya dengan dia, saya menerima dengan tangan terbuka. Namun selagi belum ada jodoh biarlah kami berkawan seperti biasa,” ujar Kamal.
Ditanya mengenai hari raya dan mungkinkah dia akan beraya bersama Emma tahun ini, Kamal menjawab ‘teman tapi mesra’ itu akan mengikut ayahnya pulang berhari raya di Terengganu. – MYNEWSHUB.CC