MELAKA – Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan Kementerian Sumber Manusia agar pengusaha restoran di negara ini mengambil tukang masak tempatan bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Januari tahun depan.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata cadangan itu dilihat mempunyai kesan positif terhadap sektor pelancongan negeri dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor makanan kepada rakyat tempatan.
“Cadangan tersebut akan dipertimbangkan dan dilihat dalam pelbagai aspek kerana ia dapat membantu kita mengekalkan tradisi makanan Melaka yang semestinya sinonim dengan rakyat negeri ini.
“Pada pendapat saya ia tidak akan memberi kesan negatif pada sektor pelancongan kerana melalui langkah itu, selain dapat mengekalkan sejarah, warisan negeri dan makanan tradisi, kita juga dapat melibatkan rakyat tempatan dalam pembangunan ekonomi pada peringkat negeri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Melaka di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berhubung pengambilan tukang masak tempatan di restoran di negara ini yang dilaporkan media dua hari lepas.
Bagaimanapun semalam media melaporkan akibat bantahan pelbagai pihak berhubung syarat itu, Kula Segaran menyatakan bahawa perkara tersebut belum diputuskan lagi sebaliknya ia hanya cadangan.
Mengulas lanjut, Adly berkata cadangan itu perlu dilihat secara positif dalam pelbagai aspek khususnya dalam pengawalan monopoli orang luar atau warga asing dalam sektor perniagaan makanan. – BERNAMA