LEGA… Jaringan lewat Marcos Rojo akhirnya bawa Argentina mara ke peringkat kalah mati setelah menundukkan Nigeria 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Saint Petersburg, Rusia.
Kemenangan dramatik yang dilakar itu membolehkan mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua dengan kutipan empat mata, ketinggalan lima mata di belakang juara kumpulan iaitu Croatia.
Skuad kendalian Jorge Sampaoli itu yang bergelut dengan masalah prestasi Piala Dunia 2018 kali ini akan menentang juara Kumpulan C, Perancis di Arena Kazan pada 30 Jun depan.
La Albiceleste berada di depan seawal minit ke-14 menerusi jaringan kapten Lionel Messi hasil hantaran jauh Ever Banega namun Nigeria menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Victor Moses pada minit ke-51.
Ketika permainan seakan-akan berkesudahan seri, Rojo meledak gol kemenangan Argentina menerusi sepakan volinya setelah menerima hantaran daripada Gabriel Mercado pada minit ke-86.
Sementara itu, Croatia turut terpaksa menanti hingga minit terakhir permainan untuk mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Iceland di Arena Rostov.
Skuad kendalian Zlatko Dalic membuka tirai jaringan menerusi percubaan Milan Badelj pada minit ke-53 namun Iceland menyamakan kedudukan setelah Gylfi Sigurdsson menyempurnakan penalti pada minit ke-76.
Kealpaan benteng pertahanan Croatia di saat akhir membawa padah apabila Ivan Perisic berjaya memastikan tiga mata menjadi milik mereka selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-90.
Croatia akan bertemu Denmark dalam aksi kalah mati di Stadium Novgorod pada 1 Julai ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA