BRONNITSY – Pertahanan Argentina, Gabriel Mercado mengakui perjalanan Piala Dunia pasukan itu kini bergantung terhadap keputusan aksi kedua menentang Croatia, Jumaat ini.
Lionel Messi terlepas penalti tatkala La Albiceleste dikejutkan 1-1 oleh pendatang baharu Iceland dalam aksi pembukaan Kumpulan D, Ahad lalu.
Croatia kini mendahului kumpulan berkenaan selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nigeria dan akan mengesahkan tempat sekiranya mengalahkan Argentina di Nizhny Novgorod.
“Realitinya perlawanan ini amat penting, selepas kami gagal mendapat tiga mata pada aksi sebelum ini,” kata Mercado.
“Ini misi hidup dan mati kami. Kami perlu menang untuk cuba mengatasi mereka.”
Pertahanan Sevilla itu turut menyifatkan dua pemain Croatia yang berpangkalan di Sepanyol Luka Modric dan Ivan Rakitic sebagai pemain paling berbahaya dalam skuad Zlatko Dalic.
“Kami tahu Croatia mempunyai dua pemain itu di bahagian tengah yang memiliki teknik kawalan yang baik. Mereka cuba memainkan peranan dan mereka juga mempunyai beberapa pemain lain yang bagus.
“Mereka sebuah pasukan yang kuat, amat berbahaya. Sejak dari awal lagi apabila diundi satu kumpulan dengan mereka, kami sudah menganggap undian ini sebagai sukar.”
Jorge Sampaoli turut dicemuh oleh Diego Maradona selepas pertemuan Iceland, dengan legenda itu memberi amaran kepada pengendali Argentina itu yang beliau tidak akan dialu-alukan pulang sekiranya tidak mengubah taktikal.
Pemain sayap Paris Saint-Germain, Angel Di Maria yang tenggelam dalam aksi pertama mungkin disingkirkan, dengan Christian Pavon muncul calon pengganti.
Mercado turut akan disenaraikan manakala Giovani Lo Celso atau Ever Banega mungkin dipilih berbanding Lucas Biglia. – AFP