NARATHIWAT – Mayat seorang lelaki memakai pakaian seragam pasukan keselamatan ditemui dalam sebuah lubang baru digali di sebuah kebun getah di daerah Sungai Padi, Narathiwat di selatan Thailand hari ini.
Kira-kira 9.30 pagi tadi (waktu tempatan), pihak polis menghantar anggotanya ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan daripada penduduk kampung berkenaan penemuan lubang baru digali yang mengeluarkan bau busuk.
“Anggota kami menggali lubang itu dan menemui mayat seorang lelaki berseluar tentera hitam dengan kedua-dua tangannya diikat daripada belakang, manakala kepalanya mempunyai satu kesan tembakan,” kata Penolong Ketua Polis Daerah Kapten Suriya Jannasai hari ini.
Pihak polis turut menemui satu kelongsong peluru 9mm tidak jauh daripada lubang itu serta kesan mangsa diheret.
Suriya percaya mangsa telah dibunuh kira-kira dua hari lepas oleh dua atau tiga orang penyerang, tetapi pihaknya akan terus menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta motif kejadian.
Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Padi untuk proses bedah siasat. – BERNAMA