KUALA LUMPUR – Polis akan merujuk keterangan bapa Altantuya Shaariibuu, Dr. Shaariibuu Setev yang diambil hari ini kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob berkata pihaknya telah mengambil keterangan Shaariibuu pada 9 pagi tadi.
“Pihak polis mengambil keterangan pengadu (Shaariibuu) pada 21 Jun 2018 (hari ini) pukul 9 pagi. Seterusnya pihak polis akan merujuk semula siasatan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya keterangan itu diambil susulan laporan polis yang dibuat oleh Shaariibuu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam.
Semalam, Shaariibuu hadir ke IPD itu bersama-sama peguam keluarganya Ramkarpal Singh untuk membuat laporan polis berhubung pembunuhan anaknya, Altantuya 12 tahun lepas.
Ramkarpal dilaporkan berkata laporan tersebut dibuat untuk meminta polis membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan berkenaan.
Altantuya dipercayai ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di kawasan hutan sekunder di Mukim Bukit Raja, Klang, antara 10 malam, 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Pada 2009, bekas anggota Unit Tindakan Khas polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya.
Pada 2013 Mahkamah Rayuan menterbalikkan hukuman mereka namun susulan rayuan pihak pendakwaan hukuman mati terhadap mereka dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia dan dia ditahan oleh Imigresen negara itu di pusat tahanan di Sidney selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya. Dia berada di pusat tahanan tersebut sejak 2015 dan berharap untuk mendapatkan suaka di Australia. – BERNAMA