KULIM – Sebanyak 15,666 barangan di 522 premis perniagaan di Kedah telah diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan perubahan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada enam peratus kepada sifar peratus, dipatuhi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kedah, Chin Ching Chung berkata, daripada pemeriksaan itu sebanyak 13 aduan diterima dengan enam kes tidak menurunkan GST.
āKita sudah memberi amaran agar mereka segera melakukannya dalam tempoh tiga hari selepas di beri amaran. Dalam masa yang sama, terdapat tiga aduan mengenai kenaikan harga,ā katanya kepada pemberita selepas melakukan Program Operasi Dan Pemeriksaan Di bawah Operasi Catut 4.0 (Perubahan Kadar GST daripada enam peratus kepada sifar peratus) KPDNKK Cawangan Kulim di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Negeri Kedah, R. Summugam dan Ketua Kastam Kulim, Mohd Senusi Ahmad.
Katanya, KPDNKK menerima semua aduan tersebut melalui talian utama mereka termasuk enam pertanyaaan mengenai penurunan GST dan kenaikan harga daripada orang ramai.
āSetakat ini, kami amat berpuas hati di mana kebanyakkan pemilik perniagaan peka terhadap penurunan GST dan mengambil langkah yang sepatutnya. Kami juga menerima aduan di mana ada premis yang tidak sempat menukarkan sistem mereka pada 1 Jun lalu namun memberi bayaran balik yang sepatutnya kepada pengguna,ā katanya.
Sementara itu, Summugam menjelaskan, sebanyak 22 barangan kawalan bagi Skim Tawaran Harga Musim Perayaan akan diumumkan esok dengan tarikh berkuatkuasa bermula dari 8 hingga 22 Jun. – BERNAMA