PULAU PINANG bakal menjadi negeri pertama yang akan mengetatkan larangan merokok di tempat awam berkuat kuasa dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Afif Bahardin, berkata perancangan itu akan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bebas asap rokok sepenuhnya menjelang 2023.
“Perancangan di bawah Projek Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (Penbar) itu merupakan antara langkah inisiatif kerajaan negeri dalam melindungi penduduk Pulau Pinang daripada bahaya asap rokok.
“Kita (kerajaan negeri) akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri bagi memastikan perancangan bergelar negeri bebas asap rokok dalam tempoh lima tahun akan datang berjaya dilaksanakan.
“Ia juga abagi menggiatkan lagi usaha memperkasa dan promosi kesihatan secara menyeluruh dan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang larangan merokok di kawasan awam dan taman rekreasi,” katanya memetik sebuah portal berita tempatan.
Afif menambah, usaha murni itu bukanlah hendak menyekat sesiapa merokok sebaliknya para perokok boleh menghisap di kawasan yang dikhaskan dan bukan di tempat awam.
“Kini larangan merokok telah dilaksanakan di kawasan masjid dan rumah ibadat yang lain serta enam taman awam dan rekreasi di sekitar negeri ini telah diwartakan sebagai larangan merokok.
“Iaitu Empangan Air Itam, Taman Perbandaran, Taman Botani, Empangan Teluk Bahang, Taman Bandar Ampang Jajar dan Empangan Mengkuang.
“Usaha itu diteruskan dengan mewartakan Tapak Warisan Dunia Georgetown sebagai kawasan larangan merokok bermula 4 Julai 2015,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya kekangan untuk melaksanakan larangan di seluruh Pulau Pinang adalah daripada pemilik premis makanan sama ada di restoran, kopitam mahupun hotel.
“Ada beberapa isu yang mereka (pemilik kedai) bangkitkan dan kita akan adakan perbincangan untuk menyelesaikan bagi merealisasikan Pulau Pinang bebas asap rokok,” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC