KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Promosi Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Batu Bertangkup dekat sini, petang semalam.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Mahamad Sukor Senapi berkata program itu bertujuan mendidik pengguna agar untuk bertindak bijak dengan memerhati dan memilih gerai-gerai yang sentiasa mengutamakan kebersihan.
Katanya antara kriteria yang perlu dipatuhi penjual adalah menghidangkan makanan dalam bekas yang berpenutup dan memakai apron serta penutup kepala.
“Pengendali juga harus menggunakan penyepit semasa membungkus makanan,” katanya pada program ‘Apa Saja Juadah Berbuka, Sebelum Membeli, Elakkan Keracunan Makanan’ itu dekat sini, petang semalam.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Zaini Hussin.
Sebelum berangkat ke program itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyantuni asnaf menerusi aktiviti kayuhan basikal bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Ar Ridza Panggas dekat sini.
Baginda turut berkenan menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM72,000 kepada 120 asnaf terpilih dari kariah Batu Bertangkup, Panggas dan Kok Klang yang menerima RM600 setiap seorang. – BERNAMA