SETIAP insan pasti mempunyai 1001 kenangan ketika pernah menyambut Aidilfitri yang tersimpan dalam fikiran malah tidak mungkin boleh dilupakan.
Tidak terlepas daripada perkara sama buat penyanyi, Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari memiliki kenangan tersendiri saat menjelang lebaran.
Kata Ara, dia pernah tidak dapat menyambut hari raya Aidilfitri selama hampir seminggu dan kejadian tersebut berlaku sekitar tiga tahun lalu ketika dirinya bekerja di sebuah butik pakaian.
“Ada banyak kenangan yang saya tak dapat lupakan. Tapi paling sedih tak dapat balik beraya disebabkan kerja.
“Raya ketujuh baru saya balik kampung. Walaupun dah tak ada rasa suasana raya tapi balik juga. Kerja di butik pakaian ini memang susah nak ambil cuti.
“Memang sedih tak dapat nak berkumpul tapi saya reda sahaja. Tapi pengalaman ini ketika saya belum jadi artis dalam tiga tahun lalu,” kata Ara dipetik mStar Online.
Ketika ditanya mengenai persiapan raya, Ara memberitahu dia menyambut hari raya bersama keluarga di kampung halaman yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan seperti tahun sebelum ini.
Tambah pelantun lagu Bunga itu, dia hanya mempunyai tiga pasang baju kerana lebih mengutamakan keperluan adik beradik yang lain.
“Sama juga seperti tahun-tahun sebelum, saya beraya di kampung yang terletak di Kuala Pilah. Baju raya saya hanya tiga pasang sahaja. Sebab saya tak berapa suka sangat pakai baju raya.
“Saya lebih utamakan baju raya untuk adik beradik yang lain,” tambahnya.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 21 tahun itu juga memberitahu bahawa dia akan mengadakan rumah terbuka untuk keluarga di kampung dan peminatnya di Kuala Lumpur tidak lama lagi. – MYNEWSHUB.CC