ARAU – Seorang remaja lelaki ditemui lemas selepas terjun ke dalam sebuah kolam di Jalan Kampung Sena, Kampung Kubang Siput dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Arau, Supt. Nanda Maarof berkata mangsa, Mohamad Azwan Ahmad Nizam, 13, dikatakan pergi ke kolam itu bersama rakan-rakannya untuk mandi kira-kira 9.30 pagi, namun sejurus terjun, Mohamad Azwan gagal berenang dan dilihat terkapai-kapai.
“Rakan mangsa terpaksa meninggalkannya untuk mendapatkan bantuan dengan segera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata polis menerima laporan pada kira-kira 10.54 pagi dan operasi mencari dan menyelamat menemukan mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Bendahara itu pada kira-kira 12.45 tengah hari tadi.
Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Fauziah, Kangar.
Sementara itu, abang mangsa dikenali sebagai Fendi berkata dua rakan adiknya datang dan mengajak mangsa mandi di kolam berkenaan sebelum mereka pergi dengan menunggang basikal ke tempat itu.
Katanya beliau tahu kolam itu sangat dalam dan adiknya juga tidak pernah mandi di situ sebelum ini. – BERNAMA