SEBAGAI pendatang baharu, pastinya Ruhainies berasa bertuah apabila dia mendapat peluang untuk menerbitkan sebuah telefilem yang bakal menjalani penggambaran di Budapest, Hungary.
Bagi pelakon berusia 25 tahun itu, dia sendiri tidak menyangka bakal mendapat peluang besar seperti itu dalam jangka masa yang singkat selepas terlibat dalam industri seni.
“Insya-Allah saya akan terbang ke Budapest pada hari raya keempat untuk jalani dua penggambaran.
“Salah satunya adalah telefilem terbitan saya sendiri. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat diberi peluang untuk menerbitkan telefilem pertama.
“Dengan kerjasama syarikat produksi Zeel Production. Saya sudah lama impikan dan tak jangka akan menjadi realiti secepat ini,” katanya ketika ditemui oleh pihak mStar Online.
Dalam masa yang sama, telefilem berjudul Con Girl itu merupakan idea asal daripadanya sendiri serta dibantu oleh krew produksi Zeel Production.
Telefilem berkenaan bakal dibintangi oleh pelakon Idris Khan, Rita Rudaini dan dirinya sendiri.
Kos bagi penerbitan telefilem berkenaan merupakan 100% hasil titik peluhnya sendiri.
“Idea karya itu semuanya daripada saya. Tapi skrip ditulis oleh Mar Mohammad dan Haji Zil juga banyak memberi nasihat dan idea.
“Saya sangat teruja sebab ni adalah karya pertama saya dan semuanya daripada hasil titik peluh saya sendiri,” tambahnya lagi.
Ruhainies sekali lagi berasa sangat bertuah apabila dia telah ditawarkan untuk menjadi duta pertama Malaysia bagi sebuah produk keluaran Korea Selatan iaitu Guerisson.
Malah, Ruhainies turut diberi peluang oleh syarikat berkenaan bagi menerbitkan sebuah telefilem.
“Sebelum ini duta produk itu adalah Lee Kwang Soo dan saya adalah duta pertama dari Malaysia.
“Sebelum terima jadi tawaran itu, saya cuba terlebih dahulu produk ni dan hasilnya sangat baik. Insya-Allah kerjasama ini akan berterusan.
“Mereka memberi kepercayaan kepada saya untuk terbitkan drama berkaitan dengan produk itu pula,” katanya. –Â MYNEWSHUB.CC/AH