SABAN hari, ada sahaja berita tentang golongan selebriti diganggu secara seksual oleh pengikut fanatik mereka dan isu itu telah berulang kali terjadi terhadap pelakon dan penyanyi Farahdhiya.
Justeru, ada sesetengah pengikut penyanyi lagu Bertahta Di Hati itu mahu dia mendedahkan profil sebenar individu yang sering melakukan gangguan seksual terhadap dirinya.
Malah, Farahdhiya juga pernah mengadakan undian di Instastory miliknya dan keputusan mendapati peratus undian mahu dia mendedahkan identiti segelintir pengikut nakalnya itu.
Dalam masa sama, penyanyi berusia 34 tahun itu turut mendedahkan bahawa dia sudah tidak tahan lagi dengan tindakan mereka yang tanpa segan silu menghantar gambar alat sulit kepadanya melalui mesej peribadi (DM).
“Saya rasa macam nak kongsi saja profil dan nama mereka yang berkelakuan tidak senonoh itu, biar satu Malaysia boleh tengok kalau pihak berkenaan berani hantar gambar sedemikian.
“Mungkin inilah saja cara nak menyedarkan mereka semula. Begitupun, saya takkan bertindak sehingga ke tahap itu. Saya bagaimanapun berharap, semua ini boleh menjadi peringatan.
“Terutama kepada golongan terbabit. Mereka kena berfikir banyak kali sebelum bertindak sebegitu,” kata Farahdhiya ketika ditemui oleh pihak BH Online.
Lebih mengejutkan lagi, ada juga segelintir remaja lelaki bawah umur turut rancak mengganggu dirinya sehingga menyebabkan dia rimas dengan keadaan sekeliling.
Bagaimanapun, sudah bertahun-tahun Farahdhiya terpaksa berhadapan dengan ganggung sedemikian dan baginya masyarakat masa kini bagaikan sudah naik gila kerana bertindak begitu berani.
“Sudah bertahun-tahun sebenarnya perkara sebegini saya hadapi. Ramai yang sakit otak agaknya sekarang, hingga tiada langsung rasa malu apabila sewenang-wenangnya berkongsi gambar lucah, termasuk kemaluan sendiri?
“Bagi saya, perbuatan itu seakan menjadi-jadi, sampaikan saya sudah tidak kuasa dengan semua ini. Ia perbuatan yang melampau. Lebih menyedihkan, ada yang menjalankan perniagaan berpaksikan agama di Instagram, namun selamba menghantar gambar kemaluannya.
“Selepas saya kongsi akaunnya, pandai pula dia menukar nama, sekali gus memadamkan muat naik sedia ada,” ujarnya lagi.
Tidak kurang juga, dia turut mengakui bahawa dirinya sering dihendap oleh seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an yang berhasrat untuk mendekati dirinya.
“Tindakan sebegini benar-benar mengganggu emosi saya. Jika sekadar hubungan peminat dengan artis, saya masih boleh layan lagi. Tetapi, lelaki yang satu ini siap menggunakan panggilan ‘baby‘ dan mahu hidup bersama saya.
“Saya juga pernah menyekat aksesnya, tetapi dia tidak serik apabila bertindak membuka pula akaun baharu,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AH