MOSCOW – Cristiano Ronaldo mendedahkan dia menyimpan janggut sebagai tuah untuk Portugal sepanjang kempen Piala Dunia 2018 di Rusia pada kali ini.
Penyerang kelab Real Madrid di Sepanyol itu memperagakan gaya janggut terbaharunya pada aksi membabitkan Portugal dan Maghribi, malam tadi.
Ronaldo sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila gol tunggalnya membolehkan Portugal meraih kemenangan pertama mereka pada edisi kali ini.
Pemain berusia 33 tahun itu kini menjadi pilihan untuk merangkul Anugerah Kasut Emas dengan empat gol setakat ini.
Selepas kemenangan 1-0 ke atas Maghribi, Ronaldo ditanya mengenai janggutnya itu.
“Janggut ini? Ia hanya gurauan saya dengan Ricardo Quaresma.
“Kami berada di sauna dan saya mula bercukur namun saya tinggalkan janggut saya sedikit.
“Saya katakan jika saya menjaringkan gol esok (bertemu Sepanyol), saya akan tinggalkan janggut ini sepanjang Piala Dunia.
“Nyata ia membawa tuah kepada saya. Saya menjaringkan gol menentang Sepanyol dan juga pada perlawanan hari ini, jadi janggut ini akan terus kekal.” – Agensi