KUALA LUMPUR – Selebriti tanah air, Datuk Rosyam Nor dan Norman Hakim hari ini bersama kira-kira 1,200 penunggang motosikal menyertai konvoi Ride for World #QuranHour yang bermula di Masjid Negara di sini sebelum berakhir di Shah Alam di Selangor.
Aktiviti konvoi bermotosikal itu merupakan acara simbolik bagi membina momentum ke kemuncak program World #QuranHour dan yang akan disambut pada Khamis depan.
Rosyam yang merupakan duta bagi World #QuranHour berkata acara yang disertai individu dan kumpulan bermotosikal itu adalah inisiatif penting yang perlu digerakkan bagi memastikan penghargaan terhadap pentingnya al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Kami bukan sahaja mahu mempromosikan acara ini pada Khamis depan tetapi juga mahu menanamkan niat bagi mengimarahkan al-Quran walaupun kerja kami hanya sebesar kuman tetapi kami berdoa dan berharap ia besar di sisi Allah dan menjadi satu bekalan untuk di hari akhirat,” katanya ketika ditemui pada acara pelepasan konvoi itu di perkarangan Masjid Negara, hari ini.
Bermula di perkarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur, konvoi tersebut kemudiannya akan berhenti di beberapa masjid iaitu Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Muadz Bin Jabbal, Masjid Ar Rahman dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Seksyen 14, Shah Alam.
Dua naskah al-Quran akan diberikan di setiap masjid yang disinggahi kumpulan konvoi itu sebagai satu tanda simbolik acara tersebut.
Konvoi kemudiannya akan berakhir di Perkarangan Kumpulan Media Karangkraf Shah Alam, untuk acara berbuka puasa.
Masjid Sultan Ahmad Shah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dipilih sebagai lokasi utama World #QuranHour tahun ini dan dijangka seramai 5,000 umat Islam akan menghadiri program tersebut.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dijangka hadir sebagai tetamu kehormat serta beberapa pemimpin yang juga alumni UIAM termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – BERNAMA