BAZIR… Ketika rakyat marhaen diseru agar berjimat cermat dan bantulah negara dengan derma kepada Tabung Harapan Malaysia, lain pula halnya dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.
Perdana Menteri dengan usia paling tua di dunia itu selamba sahaja menganjurkan majlis rumah terbukanya di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya pada 1 Syawal ini yang tentunya memakan kos besar melibatkan ‘duit rakyat’.
Ironi, ketika Unit Komunikasi Jabatan Perdana Menteri memaklumkan mengenai perkara itu pada 11 Jun lalu, tarikh yang sama menyaksikan Istana Negara mengumumkan pembatalan rumah terbuka Yang di-Pertuan Agong.
Malah Seri Paduka Baginda dilaporkan bertindak demikian kerana prihatin dengan kedudukan kewangan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) konon terpaksa menanggung hutang RM1 trilion diwarisi daripada pentadbiran lama.
Bagi yang tidak faham maksud tersirat, sebenarnya ia ayat sindiran secara beradab pihak Istana Negara terhadap Mahathir dengan beri alasan kos rumah terbuka itu sewajarnya diguna untuk bantu golongan lebih memerlukan.
Malangnya, Pengerusi PH itu bukan sahaja tidak menjunjung kasih sikap keprihatinan Sultan Muhammad V yang sanggup korban majlis tahunan tersebut, bahkan tiada inisiatif untuk batal rumah terbuka anjuran beliau sendiri.
Ini mencetuskan persoalan cepumas apakah si Mahathir itu lebih hebat darjatnya daripada Yang di-Pertuan Agong sehingga mengutamakan rumah terbuka di kediaman rasmi perdana menteri itu berbanding nasib rakyat miskin.
Untuk rekod, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah membatalkan majlis rumah terbuka di Seri Perdana pada 2014 sebagai tanda sedih kerajaan demi menghormati waris tragedi pesawat MH370 dan MH17.
Baca: PM Bazir Duit Rakyat Anjur Majlis Rumah Terbuka
Juga: Gaji, Emolumen Agong Pun Dikurangkan 10 Peratus
Serta: Tindakan PM Pinjam Yen Bayar Hutang Agak Pelik
Bukan itu, sahaja mantan presiden UMNO ketujuh itu pernah mengarahkan seluruh negara berkabung dengan batal sambutan Tahun Baharu 2015 susulan banjir besar dan insiden pesawat AirAsia terhempas di perairan Indonesia.
Begitulah tanda kepedulian Najib lebih mendahulukan rakyat meskipun ketika itu kedudukan ekonomi negara amat baik dengan kadar hutang relatif stabil sekitar 50 peratus daripada hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Hakikatnya, penganjuran rumah terbuka oleh Mahathir pada 1 Syawal ini bukan sahaja biadab kerana diadakan dari jam 10 pagi hingga 4 petang tanpa rehat untuk solat fardu Jumaat, malah membuktikan hutang negara masih baik.
Jika betul Malaysia ketika ini ambang muflis seperti mana pernah menimpa Greece dan Venezuela, mana mungkin kerajaan sanggup berbelanja besar untuk jamu 50,000 pengunjung ke majlis khas sempena Hari Raya Puasa itu.
Bayangkanlah sekiranya kos makan untuk setiap pengunjung ialah RM10, ini bermakna bajet RM500,000 terpaksa dibazirkan kerajaan walhal jumlah itu boleh digunakan untuk bantu golongan daif tegar di bandar atau pedalaman.
Bagaimanapun, realitinya majlis rumah terbuka perdana menteri menyerlahkan kerajaan PH sebenarnya berjaya memanipulasi jumlah hutang negara sebagai usaha menakutkan rakyat dan benci kepada Barisan Nasional (BN).
Ini kerana bajet program tersebut yang melibatkan elaun keraian Mahathir sendiri jelas menunjukkan kerajaan PH sebetulnya masih lagi berkemampuan berbelanja mewah ketika Seri Paduka Baginda pula tidak menganjurkannya.
Lainlah jika rumah terbuka di Seri Perdana itu sekadar menyajikan menu air kosong dan nasi lemak biasa kepada rakyat demi membuktikan pentadbiran PH berjimat-cermat dan tiada lagi duit simpanan! – Mynewshub.cc/HAA
* Video bawah sekadar sindiran…