PELAKON Shaheizy Sam menyifatkan sambutan Aidilfitri kali ini memberikan pengalaman cukup berbeza apabila menjelang hari raya ketujuh, dia sekeluarga akan ke Rusia untuk menonton Piala Dunia.
“Insya-Allah, kalau semuanya berjalan dengan lancar dan tiada aral melintang, saya akan bawa keluarga termasuk Mommy (ibu) ke Rusia untuk menonton Piala Dunia,” katanya dipetik Harian Metro.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad berkata, dia menyimpan impian itu sejak empat tahun lalu selepas menonton perlawanan akhir.
“Selepas menonton perlawanan akhir antara Jerman menentang Argentina, saya terus berkata kepada diri saya, pada Piala Dunia 2018 saya akan tengok secara langsung di stadium.
“Jadi, dah alang-alang saya pun memang sedang berehat daripada penggambaran, saya curi masa dan susun jadual untuk membawa keluarga ke Rusia,” katanya lagi.
Sementara itu, berkongsi perkembangan terbaru, Sam memberitahu dia kini sedang berehat selepas selesai menjalani penggambaran filem Polis Evo 2 yang memakan masa selama setahun tiga bulan.
Ujar adik kepada pelakon terkenal, Zizie Ezette itu lagi, dia akan kembali bekerja menjelang bulan Oktober depan. – MYNEWSHUB.CC