BERKAT kemanisan bulan Ramadan, penyanyi Siti Sarah Raisuddin dilihat sering mengenakan hijab selepas pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah beberapa hari lalu.
Dalam masa sama, isteri kepada pelawak Shuib daripada kumpulan Sepahtu itu juga memohon kepada peminat untuk mendoakan dirinya serta menjadikan Rozita Che Wan, Neelofa dan Nabila Razali sebagai rujukan dalam cara pemakaian tudungnya.
“Doakan semoga saya istiqamah. Sedikit sebanyak, saya mengambil gaya diserlahkan mereka sebagai rujukan dalam memakai tudung.
“Biarpun berhijab, namun masing-masing bijak bergaya dan mengikut aliran fesyen terkini,” kata Sarah ketika ditemui oleh pihak BH Online.
Walaupun tidak buat apa-apa kenyataan tentang imej baharunya itu, Sarah tetap berkongsi tentang pengalaman umrahnya bersama suami yang dirasakan berbeza berbanding ketika menjejakkan kaki ke Makkah dan Madinah sebelum ini.
Malah bagi penyanyi berusia 33 tahun itu, jika benar dia mahu bertudung sepenuhnya, dia sama sekali tidak akan melakukan apa-apa pengumuman dan hanya akan mengenakan ‘mahkota’ itu dengan sendiri.
Kali ini, Sarah berkesempatan melakukan umrah bersama Shuib dan ibu mertuanya.
“Biarpun ia pengalaman kedua saya menunaikan umrah, namun banyak perbezaannya dengan kunjungan sebelum ini. Selain dapat beribadat bersama suami, keadaan di Tanah Suci juga banyak berubah berbanding dulu.
“Alhamdulillah, sukar untuk saya ungkap pengalaman beribadat kali ini. Selain berpeluang untuk berpuasa di sana, kali ini saya lebih mendalami ibadat jika dibandingkan dengan umrah pertama dulu,” ujarnya lagi.
Sebagai suami, Shuib merupakan antara insan yang paling gembira dengan perubahan yang dilakukan oleh isteri kesayangannya itu.
Suami mana yang tak sayang isteri, Shuib juga mahukan isterinya manis menutup aurat ketika berhadapan dengan khalayak umum tetapi buat masa ini, dia menghormati apa sahaja keputusan yang akan dilakukan oleh ibu kepada dua cahaya mata itu.
“Sebagai seorang suami saya bersyukur dan seronok melihat isteri saya bertudung. Tetapi saya tak mahu ada paksaan, biarlah dia sendiri yang buat keputusan.
“Kalau dia sayang saya kerana Allah, then dia pakai,” tambah Shuib pula.
Pasangan suami isteri itu juga dapat merasai kesempatan menyambut bulan Ramadan di Tanah Suci Makkah selama 10 hari. – MYNEWSHUB.CC/AH