PERNAHKAH anda bayangkan sate yang berwarna-warni? Mungkin agak pelik didengari namun kelazatan hidangannya tetap terasa walaupun tidak seperti warna kelazimannya.
Sate warna-warni mula menjadi fenomena baharu di Terengganu khususnya di daerah Kemaman, malahan ia juga mendapat permintaan yang tinggi menjelang Aidilfitri untuk dijadikan juadah hari raya puasa.
Pengusahanya, Muhammad Zulhanif Hazman, 22, berkata permintaan terhadap sate ayam dengam empat warna tersebut yang dihasilkannya sejak empat bulan lalu meningkat sekali ganda pada bulan ini.
“Alhamdulillah, sate ini yang terdiri daripada warna kuning, biru, merah dan hijau, mendapat permintaan tinggi terutama menjelang hari raya berbanding bulan-bulan biasa tempahan tidak sampai 15,000 cucuk.
“Saya berniaga sate ayam dan daging sejak lima tahun lalu, namun idea untuk buat sate warna-warni ini tercetus selepas mendapat nasihat daripada pembimbing program Empower Ecer yang saya pernah sertai.
“Ia di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur. Mereka nasihatkan saya untuk cetus kelainan sebab sekarang orang suka kelainan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya Four Z Brothers Cafe.
Muhammad Zulhanif berkata sate berwarna yang dihasilkannya itu tetap mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan beliau masih menggunakan ramuan turun-temurun yang diwarisi daripada nenek serta ibunya.
“Rasa sate warna-warni ini juga lebih enak dan turut dihidangkan bersama kuah kacang, bawang dan timun, sama seperti sate lain… apa yang agak berbeza ialah rasanya yang lebih lembut dan menyelerakan…
“Tambahan pula sate yang saya hasilkan tidak dicampur dengan kulit ayam,” kata Muhammad Zulhanif sambil berkata bahawa beliau ada juga menerima kritikan daripada orang ramai pada peringkat awalnya.
Ini kerana beliau tampil menghasilkan sate yang berlainan daripada kebiasaan, namun kritikan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencipta kelainan berbanding apa di pasaran.
“Bagi orang muda, mereka cakap sate saya ‘hipster’ dan menjadi satu menu yang wajib dicuba apabila datang ke Kemaman sebab di tempat lain tak ada… tapi ada juga yang cakap, ‘sate apa macam ni warna-warni’…
“Tetapi setelah mereka mencubanya sendiri, pasti mereka tidak akan menyesal,” ujar Muhammad Zulhanif. Sate ayam dan daging yang biasa turut mendapat permintaan agak tinggi pada bulan Syawal ini.
Justeru, beliau sudah pun buat persiapan awal dengan menyediakan hampir 60,000 cucuk sate sepanjang sebulan sambutan Aidilfitri berbanding jualan pada hari biasa yang tidak sampai 30,000 cucuk sebulan.
Muhammad Zulhanif berkata kedainya turut dikunjungi pelanggan dari Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang, serta turut menerima tempahan daripada syarikat di sekitar daerah tersebut untuk majlis berbuka puasa.
“Sekarang pun, kami masih tetap buka untuk tempahan sate sehinggalah ambang malam raya dan kami juga bersedia untuk menerima tempahan lagi untuk pelbagai majlis rumah terbuka.
“Harga untuk sate warna-warni dan sate ayam ini saya hanya jual 70 sen secucuk manakala bagi sate daging pula, saya jual dengan harga 90 sen secucuk,” kata Muhammad Zulhanif. – Bernama/HAA
*Video bawah sekadar hiasan…