UNIK… Majlis perkahwinan di China ketika ini semakin dimeriahkan lagi dengan trend penuh dramatik yang ternyata bukan daripada persembahan muzik jazz,tarian atau kek bersaiz besar.
Bahkan ia lebih merujuk kepada bentuk selendang terbang yang sangat mengagumkan. Trend itu mula dapat disaksikan dalam satu rakaman video yang dikongsikan oleh seorang perancang perkahwinan dari Shanghai.
Rekaan skaf terbang oleh beliau itu ternyata dianggap sebagai satu inovasi yang sangat kreatif sekali gus berjaya menjadi ikutan tular ramai pasangan pengantin muda sewaktu majlis perkahwinan mereka di sekitar China.
“Kebanyakan jemputan setentunya berasa teruja untuk menyaksikan saat sepasang tudung terbang melayang penuh dramatik sebelum mendarat secara lembut menutupi bahagian kepala pengantin perempuan,” jelas Stark Zhang.
Beliau yang merupakan seorang perancang perkahwinan dan bertugas dengan Nanjing Wedding Daheng Internet berkata: “Ternyata ramai pengantin perempuan berasa sangat puas hati dengan rekaan yang telah ditampilkan.”
Aksi selendang terbang tersebut yang menuju ke arah pengantin perempuan itu memang seolah-olah merealisasikan dunia kisah dongeng lama tempatan tetapi hakikat sebenarnya ia boleh dioperasikan dengan gaya cukup mudah.
Menurut laporan akhbar tempatan berbahasa Inggeris terkenal, The South China Morning Post, Skaf lembut itu hanya dipasangkan pada satu tali halus yang boleh menghubungkan terus menuju ke arah pengantin perempuan.
Ikatan tersebut memang sukar dilihat secara rambang oleh mata pengunjung namun secara perlahan-lahan terlerai tatkala mendekati ke arah pengantin perempuan sehingga ia terletak lembut menutupi kepala si mempelai itu.
“Pada peringkat awal percubaan sebelum ini, setentunya berlaku beberapa kegagalan seperti selendang tersebut terbang melayang melewati kedudukan pengantin perempuan itu berdiri atau ikatannya tidak terlerai kemas.
“Malah tahap kelajuan penghantaran skaf tersebut melalui sistem rel itu juga dikatakan tidak selalunya berada paras statik,” jelas Zhang menceritakan rahsia aksi selendang berkenaan seperti mampu melayang dengan penuh bergaya.
Beliau turut menekankan bahawa sistem tersebut telah dipertingkatkan sehingga tudung tersebut terbang sebelum menutupi keseluruhan kepala pengantin perempuan dengan lancar seolah-olah aksi magis oleh pakar silap mata.
Dalam pada itu, Amy Li, juga salah seorang perancang perkahwinan yang berpusat di Beijing menjelaskan bahawa perkhidmatan selendang terbang ini mampu ditawarkan pada harga berpatutan kerana ia bukan lagi eksklusif.
“Jika pengantin perempuan mendambakan majlis perkahwinan dimeriahkan dengan konsep fantasi itu setentunya terdapat kadar harga ditawarkan namun ia tidaklah berapa tinggi,” jelasnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA