SELEPAS mengalami tiga kali keguguran, isteri kepada penyanyi, Black Hanifah iaitu Naquia Yasirah Mohd Khairi atau lebih mesra disapa sebagai Cira kini kembali hamil.
Memetik laporan BH Online, Black berkata kehamilan Cira tentunya dianggap rezeki yang mengubat kedukaan lalu dan dia memilih untuk berkongsi berita gembira itu selepas mendapat pengesahan doktor.
“Saya berkongsi berita ini kerana ramai juga yang bertanyakan mengenai kehamilan itu. Bukan apa, lebih baik tunggu sehingga kandungan sudah sihat, baru saya berani berkongsi dengan orang ramai.
“Saya memohon kepada semua untuk mendoakan kesejahteraan dan kesihatan isteri kerana sudah tiga kali saya bersedih apabila Cira alami keguguran. Semoga kehamilan kali ini dipermudahkan.
“Perkongsian ini dibuat selepas kami berjumpa doktor, baru-baru ini. Begitupun, jantina anak belum dapat dipastikan. Alhamdulillah, apa yang penting isteri dan kandungan sihat,” kata Black.
Bercerita mengenai pengalaman isterinya sepanjang trimester pertama kehamilan, penyanyi itu memberitahu ia tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan pengalaman ketika Cira mengandungkan anak pertama mereka.
“Pada awal kehamilan, Cira sukar untuk bangun dan lebih selesa berada di rumah. Malah, dia juga tidak mempunyai selera makan,” tambah Black.
Ujarnya lagi, bagi menjaga kandungan, Cira banyak meminta pendapat serta nasihat daripada doktor pakar sakit puan iaitu Prof Norehan daripada Hospital Kuala Lumpur.
Black dan Cira mendirikan rumah tangga pada September 2013. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata bernama Khaleef Dayyan yang kini berusia tiga tahun. – MYNEWSHUB.CC