LAHAD DATU – Polis menahan seorang lagi lelaki dan merampas selaras bakakuk (senjata api buatan sendiri) serta dua laras senjata angin bagi membantu siasatan berhubung kes curi kabel dan tembaga milik Palm Oil Industrial Cluster (POIC).
Dengan penahanan lelaki berumur 33 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Keliatan, kira-kira 10 malam itu, jumlah suspek yang ditahan berhubung kes kini ialah dua orang.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata suspek yang juga warga tempatan itu adalah adik kepada suspek pertama yang ditahan di kediamannya pada 5 Jun lepas menerusi Op Cantas.
“Penangkapan itu mendedahkan suspek turut memiliki satu bakakuk, dua laras senapang angin yang disembunyikan di kawasan kelapa sawit di Kampung Bulus Batu 8, Jalan Tengah Nipah yang juga digunakan untuk perburuan secara haram,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lepas dan siasatan kes masih diteruskan.
Hamzah berkata abang suspek berumur 48 tahun ditahan bersama tujuh butir peluru penabur, 10 butir kelongsong peluru penabur selain dua gegelung tembaga, satu batang rod tembaga, tiga unit besi tembaga pelbagai saiz, lima unit besi penyambung warna perak, 13 unit besi penyambung warna hijau kuning dan dua rotor dinamo dianggarkan bernilai RM200,000.
Lelaki itu turut direman tujuh hari bermula tarikh ditangkap (5 Jun) untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali atas kesalahan curi dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman tujuh tahun penjara, denda RM10 ribu atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan kerana memiliki barangan senjata api.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan individu yang mempunyai senjata api agar tampil memberi maklumat bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan. – BERNAMA