BUKIT MERTAJAM – Seramai 580 murid Tahun Satu hingga Enam di Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya di sini mendalami dan menghayati bacaan al-Quran di perkarangan sekolah itu hari ini sempena World#QuranHour.
Guru Besar sekolah itu Ramlee Abu Bakar berkata program bacaan ayat-ayat suci tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada anak-anak murid mendalami tadarus dan melihat kandungan ayat-ayat al-Quran.
“Seperti kelaziman kita akan melaksanakan program Ihya Ramadan dan antaranya terkandung majlis khatam al-Quran bagi murid Tahun 4,5 dan 6…maka murid-murid dapat mendalami dan menghayati bacaan al-Quran yang turut diberi terjemahan surah Al-Hujurat oleh Ustaz Mohamad,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program itu.
Sementara itu Muhammad Aiman Muhamad Rashidi,12, yang telah enam kali khatam al-Quran sejak berumur tujuh tahun melahirkan rasa gembira kerana dapat membaca al-Quran bersama rakan-rakan.
“Seronok hari ini dapat mengaji beramai-ramai dan kita dapat mendengar dan meneliti ayat-ayat suci yang turut dibacakan oleh ustaz, ” katanya yang mula membaca al-Quran sejak berusia enam tahun.
Rakannya Muhammad Eusoff Haikal Mohamad Salim,12, turut melahirkan rasa teruja dengan program tersebut.
“Program ini sangat baik kerana kami dapat membaca al-Quran bersama-sama dan dapat memperbaiki bacaan dengan lebih baik,” katanya yang telah tiga kali khatam al-Quran sejak Tahun Lima.- BERNAMA