UNDUR… Berbeza perangai pemimpin Pakatan Harapan (PH) berdolak-dalik konon mahu bersara daripada politik jika kalah dalam pilihan raya umum (PRU), lain kisahnya dengan tokoh UMNO ini.
Malah Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil enggan mengikut gaya hipokrit PH yang berlakon drama air mata mahu berundur, tetapi kemudian bertindak sebaliknya konon penyokong desak terus lagi aktif berpolitik.
Sebaliknya, bekas menteri dan ahli parlimen itu mengumumkan persaraannya secara rasmi daripada arena politik tanah air selepas kira-kira 39 tahun berkecimpung menyumbang bakti kepada perjuangan UMNO serta negara.
Mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bahkan dengan bangga berkata, sudah tiba masanya sayap Wanita UMNO mempunyai seorang ketua baharu yang lebih muda dan membawa idea lebih segar.
Bagaimanapun, jelas Shahrizat, beliau masih lagi kekal bersama-sama UMNO meskipun sekadar sebagai ahli biasa sambil tidak begitu mengharapkan untuk diberikan balasan dengan sebarang jawatan besar dalam parti tersebut.
“Dalam politik, kita mesti tahu bila masanya untuk mengundur diri. Sudah lebih sembilan tahun mengetuai Wanita UMNO dan saya yakin meninggalkannya dalam keadaan terbaik dengan ramai pemimpin berwibawa jadi pengganti.
“Saya berharap Wanita UMNO di bawah ketua baharu selepas ini akan tetap meneruskan perjuangan parti untuk mengarusperdanakan lagi golongan ini dalam dunia politik negara,” kata Shahrizat ketika ditemui pemberita.
Beliau membuat kejutan demikian selepas hadir untuk mengundi dalam Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kepong yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di ibu negara pada hari ini.
Mesyuarat perwakilan disusuli dengan sesi pemilihan untuk semua jawatan dalam pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO peringkat bahagian dan pusat bermula serentak di semua 191 bahagian pada 9 pagi Sabtu.
Shahrizat, 64, sebelum itu memutuskan untuk tidak lagi mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO dalam pemilihan kali ini sekali gus menyaksikan hanya seramai tiga tokoh yang bertanding bagi merebut jawatan tersebut.
Mereka ialah Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Azizah Mohd. Dun, manakala empat lagi dicalonkan bagi bersaing dalam jawatan Naib Ketua Wanita. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA