PELAKON dan pengacara berbakat besar, Sherry Alhadad kini muncul dengan menampilan baru selepas berjaya menurunkan berat badan sebanyak 13 kilogram.
Ekoran hal itu, netizen mula mendakwa kononnya pengacara berusia 33 tahun itu berazam untuk ‘pasang badan’ demi mencari teman lelaki.
Bagaimanapun, Sherry tampil menafikan dakwaan yang tidak berasas itu dan menjelaskan dia berusaha untuk mengecilkan tubuh sebagai memberikan galakan untuk peminat dan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.
“Buat masa ini, saya masih lagi solo dan tidak mempunyai mana-mana teman istimewa. Jadi, usaha untuk menguruskan badan ini bukanlah untuk sesiapa, tetapi demi kebaikan diri sendiri.
“Saya juga tidak setuju apabila ada yang anggap gemuk itu tidak cantik, tetapi inisiatif ini diambil atas faktor kesihatan. Lebih banyak aktiviti dapat diisi dalam jadual kerana tubuh saya kini lebih ligat berbanding dulu.
“Sebenarnya, saya tidak mahu terlalu menghebahkan perkara ini kerana berat badan boleh naik dalam tempoh cepat. Cuma, saya berharap rutin sihat ini dapat diteruskan untuk kebaikan diri sendiri juga,” katanya dipetik BH Online.
Berkongsi mengenai tip atau cara yang diamalkan, Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad memberitahu banyak perkara sebenarnya yang perlu dikorbankan kerana ia bukan usaha mudah.
Malah katanya, bagi mengisi rutin bersenam dia juga perlu membuang rasa malas dan tidak boleh berfikir untuk menyambung tidur saja.
“Selain itu, saya juga gemar minum Milo, tetapi perlu dikurangkan kerana ia mengandungi gula yang tinggi. Ibarat perlu berpisah dengan teman lelaki kerana ia adalah minuman kegemaran saya,” kata Sherry. – MYNEWSHUB.CC