KERAJAAN Singapura membentuk satu zon khas untuk memastikan kelancaran pertemuan Presiden Amerika Syarikat Donlad Trump dengan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
Kawasan dinamakan zon acara khas itu terletak di kawasan sekitar Hotel Shangri-La, lokasi sidang kemuncak Amerika Syarikat dengan Korea Utara itu akan berlangsung.
Kawasan meliputi Tanglin, Newton dan Orchard itu dijadikan satu zon khas sepanjang 10 hingga 14 Jun.
Penetapan kawasan khas ini dibuat berdasarkan peraturan keselamatan Singapura yang membolehkan langkah keselamatan lebih ketat di kawasan yang dikhususkan.
Singapura bimbang terhadap ancaman keganasan yang boleh timbul akibat acara berprofil tinggi di negara kota itu.
Kawasan ini menempatkan beberapa jabatan penting seperti Kementerian Luar Singapura, Kedutaan Besar AS dan beberapa hotel mewah yang mungkin akan digunakan oleh delegasi daripada kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan kerajaan Singapura hujung minggu lalu, Menteri Dalam negeri Singapura, Pang Kin Keong mengatakan zon itu penting kerana pertemuan itu akan turut melibatkan pelbagai acara sampingan lain.
Sementara itu, pesuruhjaya polis Singapura, Hoong Wee Teck mengumumkan pembentukan satu lagi zon khas lebih kecil di dalam zon acara khas yang lebih besar itu.
Menurut Hoong, polis Singapura akan melakukan pemeriksaan khusus orang ramai dan kenderaan yang ingin memasuki zon tersebut pada 10 hingga 14 Jun nanti.
Pertemuan antara Trump dengan Kim sebelum ini menjadi tanda tanya apabila Trump mengatakan sidang itu dibatalkan dalam satu kenyataan yang mengejutkan banyak pihak.
Pertemuan itu kemudian diumumkan akan tetap berlangsung di Singapura seperti yang dijadualkan. – Agensi/Mynewshub.cc