SKANDAL yang melanda Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikatakan ada wang sebanyak RM300 juta di luar negara nyata membuka mata orang ramai.
Melalui pendedahan yang disiarkan blog Toyol Of Selangor, Azmin dan isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin serta beberapa individu lain dikatakan pernah memiliki pelbagai akaun bank di luar negara.
Dalam penulisan bertarikh 18 Jun itu, penulis blog terbabit juga antara lain mendakwa Mohamed Azmin dan isterinya Datin Seri Shamsidar Taharin memiliki ratusan juta ringgit dalam akaun-akaun bank tersebut.
Penulis blog berkenaan juga mendakwa mengetahui mengenai skandal berkenaan kerana pernah bekerja dengan bekas Menteri Besar Selangor itu sewaktu beliau menyandang jawatan berkenaan.
Azmin pantas menafikan tuduhan itu dan dalam masa sama menyelar tindakan penulis blog tersebut. Beliau menganggap konon ianya berniat jahat dan hanya bertujuan untuk mencemarkan reputasinya.
Terbaharu, Azmin menerusi Setiausaha Akhbarnya, Mohd. Hassanal Bolqiah Mohd. Yusoff berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang kepada pemilik blog berkenaan.
Jelasnya, Azmin telah meminta pasukan guaman memfailkan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti identiti pemilik blog tersebut.
Jika benar tuduhan tersebut adalah fitnah dan berniat jahat semata-mata, mengapa Azmin dan pasukannya dilihat gusar dengan perkara itu?
Pastinya beliau akan lebih tenang menghadapai situasi ini sekiranya beliau langsung tidak terlibat dengan tuduhan yang dibuat bekas pekerjanya itu.
Isu ini sebenarnya memberi tamparan hebat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menentang Akta Antiberita Tidak Benar habis-habisan sewaktu diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sejak mereka berjaya menakluki Putrajaya, pentadbiran PH juga berkali-kali memaklumkan kepada umum bahawa akta berkenaan akan dimansuhkan kerana konon sekat kebebasan bersuara rakyat.
Kini, apabila salah seorang pemimpin mereka sendiri yang terkena tuduhan sebegini, dengan pantas hendak saman dan ambil tindakan undang-undang kepada pelaku.
Bukankah tujuan akta berkenaan diwujudkan adalah bagi mengekang perkara seperti ini berlaku? Jadi, mengapa perlu Azmin dan pasukannya menggelupur? Bukankah ini yang anda mahu?
Seperti yang pernah diterangkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sebenarnya adalah berpaksikan rakyat dan bertujuan melindungi orang awam daripada penyebaran berita tidak benar.
Namun, penerangan itu semua tidak diambil endah dan dikutuk oleh ramai pemimpin PH kerana konon dikatakan hanya diwujudkan untuk kepentingan kerajaan BN.
Justeru, pemimpin PH tidak layak untuk merasakan bahawa diri mereka menjadi mangsa dalam keadaan seperti ini.
Apakah mereka lupa bahawa mereka juga menang pilihanraya dengan fitnah dan putar belit fakta? Buat orang takpe, kena diri sendiri jadi gila.
Inilah yang berlaku apabila semua janji yang diwartakan kepada umum hanya dibuat untuk mempermainkan rakyat dan memancing undi kerana ingin berkuasa. – MYNEWSHUB.CC