JOHOR BAHRU – Teka teki siapa menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu akan diketahui minggu depan.
Menteri Besar Datuk Osman Sapian yang mengesahkan demikian berkata pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat pada 28 Jun.
Katanya, setakat ini, dua nama sudah disenarai pendek namun butiran mengenai mereka tidak dijelaskan dengan lebih lanjut.
Cuma, ketika berucap pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pulai di Tapak Bazar Ramadan Perling Mall di sini, hari ini, beliau sempat memberi bayangan bahawa jawatan itu mungkin disandang Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara (Amanah) merangkap Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat.
Pada pilihan raya umum ke-14, Suhaizan yang juga bekas Ketua Pemuda PAS bertanding di DUN Kukup namun tewas kepada calon Barisan Nasional Datuk Md Othman Yusof dalam pertandingan tiga penjuru. – BERNAMA