HUTANG itu wajib dibayar! Namun ada segelintir umat Islam yang tidak mahu membayar hutang.
Malah, kerana hutang juga boleh berlaku pelbagai perkara yang tidak diingini.
Semalam, kecoh di media sosial apabila suami kepada pelakon popular Yana Samsudin memuat naik status mendedahkan seorang pereka fesyen terkenal tidak membayar hutang.
Fadzil Zahari yang juga adik kepada Datuk Farid Kamil mula hilang sabar dengan kerenah pereka fesyen tersebut yang liat membayar hutang walaupun telah diberi amaran hal itu akan dihebahkan di Facebook.
Menurut Fadzil, 34, pereka fesyen yang dikenali sebagai Zery Zamry itu tidak dapat melangsaikan hutang sebanyak RM10,000 sejak tiga tahun lalu.
“Zery Zamry bila nak bayar hutang? Dah 3 tahun dah ni? Tiap-tiap tahun nampak pergi oversea, butik pun nampak makin gah…tak banyak pun RM10k jaa.
“Sesiapa kenal tolong tag dia sat…dia dah block kat FB, IG dan WhatsApp. Mungkin dia segan nak balas WhatsApp dan angkat call, boleh balas kat sini,” tulisnya.
Difahamkan, pereka fesyen itu memberi alasan mahu meminjam duit sebagai modal pusingan selain mahu membayar gaji pekerjanya pada 2015 lalu.
“Ketika itu dia berkawan baik dengan Yana (isteri) dan dia memujuk untuk meminjam wang sebanyak RM30,000 daripada Yana.
“Tetapi saya menasihati Yana agar tidak memberi wang sebanyak itu kerana ia satu jumlah yang agak besar,” katanya seperti yang dipetik portal Harian Metro.
Selepas berbincang, Fadzil dan Yana akhirnya bersetuju meminjamkan wang sebanyak RM15,000 sahaja.
Malangnya, selepas dua tahun, hutang itu masih belum dilunaskan, malah pereka fesyen terbabit juga sudah menghalang segala laluan komunikasi sama ada melalui WhatsApp, Facebook atau Instagram.
Fadzil juga mendakwa, pekerja di butik pereka fesyen itu juga tidak dibayar gaji walaupun sudah mendapat wang yang dipinjam itu.
Menurutnya, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menuntut semula hutang termasuk menghubungi ibu dan kakak pereka fesyen itu.
Katanya, ibu pereka fesyen itu didakwa ada membantu menjelaskan hutang sebanyak RM3,000 sahaja dan baki RM2,000 ditolak atas alasan bayaran sewa butik kerana mereka pernah menyimpan produk mereka di butik berkenaan, sebelum ini.
“Saya tiada niat mahu malukan dia di laman sosial tetapi saya sudah beritahu kakaknya, bulan lalu kerana jika tiada maklum balas daripada pihaknya, saya terpaksa ‘bertanya’ di Facebook,” katanya lagi
Fadzil turut mendakwa mempunyai bukti perbualan di aplikasi WhatsApp antara ibu dan kakak termasuk surat yang ditandatangani pereka fesyen itu yang menunjukkan akan menyelesaikan hutang dalam tempoh sebulan selepas meminjam pada Oktober 2015. – MYNEWSHUB.CC