AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Penggal Pertama Mesyuarat DUN ke-14.
Nama wakil rakyat DAP itu dicadangkan oleh ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari serta disokong ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim.
Suee Lim kemudian mencadangkan ADUN Paya Jaras dari PKR, Khairuddin Othman sebagai Timbalan Speaker serta disokong ADUN Kota Kemuning oleh V Gananatirau.
Terdahulu, seramai 56 ADUN termasuk empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) serta seorang wakil rakyat PAS mengangkat sumpah sebagai ADUN.
ADUN Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafie bagaimanapun tidak hadir majlis angkat sumpah kerana faktor kesihatan.
Majlis angkat sumpah dimulakan Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor.
Ia disusuli 10 EXCO Kerajaan Selangor iaitu Chang Kim; Ganabatirau; ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail; ADUN Seri Serdang, Dr. Siti Mariah Mahmud; ADUN Pandan Indah, Izham Hashim dan ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohd Talha.
Ia diikuti ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari; ADUN Kinrara, Ng Sze Han; ADUN Seri Setia, Shaharuddin Badaruddin dan ADUN Kajang, Hee Loy Sian. – myMetro Online