KUTIPAN derma besar-besaran oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Tabung Harapan sejak awal lagi sudah nampak tidak masuk akal apabila alasan membayar hutang negara diberikan.
Hutang pun diperbesarkan untuk dijadikan alasan tidak mampu melaksanakan janji melangit yang diberikan untuk menarik rakyat mengundi PH.
Kalau kita betul-betul perhati sejak awal PH menubuhkan kerajaan, permainan manipulasi persepsi dan emosi ini memang kepakaran mereka.
Mereka meneruskan menggunakan kepakaran mereka sejak kempen pilihan raya umum, kali ini untuk memberi alasan tidak mampu menunaikan janji pula.
Sebelum ini mereka menumpukan pada persepsi kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN), kali ini selepas berkuasa mereka memanipulasi isu sama untuk menunjukkan mereka tidak mampu tunai janji kerana negara sudah dirosakkan oleh BN.
Tanpa menjelaskan bentuk hutang negara, tempoh dan cara membayarnya, mereka memperbesarkan isu beban hutang.
Orang ramai faham hutang sebagai pinjam duit yang mesti dibayar semula, dan inilah yang dapat mereka eksploit.
Mereka eksploit pemahaman orang ramai tentang hutang ini dengan menubuhkan Tabung Harapan yang lebih bersifat gimik berlebihan, terutama bila dijadikan alasan untuk membayar hutang negara.
Mereka yang tertipu, apatah lagi yang taksub (dan yang ada kepentingan agenda tertentu) akan menyumbang dan berasa patriotik kerana menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Gimik murahan terbaru ialah sumbangan seorang kanak-kanak 12 tahun yang menyerahkan tabungannya kepada Tabung Harapan.
Penyerahan ini disambut dengan puji-pujian dan pada masa yang sama kutukan kepada perdana menteri terdahulu.
Gimik murahan ini bukan sahaja memalukan dan memualkan, tetapi sudah sampai ke tahap menghina rakyat Malaysia sendiri.
Mungkin penubuhan tabung ini perlu dilihat dan diteliti berdasarkan undang-undang, kerana setakat ini tidak nampak satu yang benar-benar jelas tentang kedudukan sebenar tabung ini dan ke mana akan digunakan wang diterima.
Cukup-cukuplah berpolitik murahan dan menabur persepsi buruk kepada orang lain demi menaikkan diri sendiri.
Mereka yang taksub tidak akan bersedia menerima teguran agar tabung ini dinilai semula, kerana sudah tertanam dalam kepala mereka semua yang pemimpin mereka lakukan betul belaka.
Yang nampak apa yang tidak kena dengan tabung ini mesti berani bersuara untuk menyekat lebih banyak kekeliruan dan kerosakan berpunca daripada politiking tabung ini. – Mynewshub.cc