TIADA angin, tiada ribut tiba-tiba sahaja nama penyanyi, Tajul menjadi sebutan orang ramai gara-gara kontroversi yang melanda dirinya baru-baru ini.
Difahamkan, Tajul menjadi bahan ‘umpatan’ netizen selepas tersebarnya sebuah rakaman memaparkan dia membeli-belah pakaian raya dengan seorang wanita menjadi perhatian.
Menerusi rakaman berkenaan, Tajul yang juga merupakan adik kepada kepada allahyarham Achik Spin menyebut perkataan ‘wife’ (isteri) merujuk kepada wanita yang bersama dengannya.
Ternyata perkara itu mengundang pelbagai terjemahan dan spekulasi dalam netizen malah ada yang menganggap penyanyi itu sudah mendirikan rumah tangga.
Enggan spekulasi itu terus bertebaran, Tajul menyangkal dakwaan kononnya dia sudah berkahwin dan berharap peminat tidak salah faham mengenai ketelanjurannya dalam berkata-kata.
Malah katanya lagi, panggilan ‘wife’ tersebut hanyalah sekadar gurauan untuk mengambil hati wanita yang dikenali sebagai Nurul Syamieza Eddie itu.
“Saya sedar itu salah saya (mengaku sudah beristeri), sebenarnya saya sengaja memanggil teman wanita sebagai isteri untuk ambil hati. Tak sangka pula perkara ini menjadi isu besar.
“Saya minta maaf kerana salah cakap, saya memang belum lagi berkahwin,” kata Tajul yang dipetik portal mStar Online.
Dalam perkembangan lain, Tajul menerusi InstaStory miliknya turut meminta agar netizen menjaga pertuturan terutamanya ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.
Tanpa mendedahkan siapa gerangan pihak yang diperkatakan, Tajul turut meminta pihak terbabit menjaga hal masing-masing selain menghormati antara satu sama lain.
“Mulut longkang ramai betul bulan puasa ni. Syaitan dah kena ikat dah. Sayangilah mulut anda, tak pasal-pasal je kau terjamah benda yang tak patut kau jamah der.
“Jaga hal sendiri dah. Nak cakap kau besar, aku pun hidup bukannya sebatang kera. Tapi kita ada undang-undang.
“Tak perlu angkat lu punya baju tinggi-tinggi. Sedih. Hormat satu sama lain, tu pun dah cukulah brader. Assalamualaikum,” katanya.
Memetik sumber, difahamkan entri berkenaan mempunyai kaitan dengan gosip yang sedang melanda dirinya pada ketika ini. – MYNEWSHUB.CC