BUKAN mudah bergelar selebriti kerana apa sahaja yang dilakukan pasti mendapat perhatian netizen termasuklah pelakon, Nora Danish yang sering menjadi mangsa jenayah siber.
Kecewa dan mengakui sudah tidak tahan dengan perkara itu, Nora akhirnya tampil bersuara terhadap sikap segelintir netizen yang berselindung di sebalik akaun palsu menghina bayinya, Mohamed Neqayl Nedim.
Memetik mStar Online, luahan beremosi yang dikongsi Nora menerusi InstaStory miliknya baru-baru ini sedikit sebanyak memberi gambaran mengenai perasaannya yang terpendam.
Menerusi entri berkenaan, isteri kepada Nedim Nazri itu dilihat mempersoalkan apakah salah dan dosa anaknya itu sehingga netizen sanggup mengutuk ciptaan Allah tanpa sebarang perasaan takut.
Nora juga memberitahu anaknya itu bukanlah anak kacukan yang perlu kelihatan sempurna setiap masa kerana dia juga adalah manusia biasa.
“Malam yang sangat emosi sebab terkilan. Anak saya ini bukan anak Mat Salih ke apa, yang kena nampak sempurna. Anak Melayu kot. Semua manusia dalam dunia ini semua ada keistimewaan masing-masing
“Nak kutuk pun, membawang ke, kutuk la benda lain. Kutuk ciptaan Allah takde ke rasa takut dalam hati? Apalah salah Ney Ney (panggilan manja Neqayl) kat korang? Haih! Manusia, manusia,” tulisnya menerusi entri berkenaan.
Tambah Nora, statusnya sebagai seorang selebriti tidak bermaksud dia perlu menerima serta menelan apa sahaja yang diperkatakan oleh netizen mengenai diri atau keluarganya.
Malah tegas Nora lagi, dia juga mempunyai perasaan seperti mana orang lain malah lebih beremosi dan sensitif.
“Tak semestinya jadi selebriti hati kena kering. Kami juga ada perasaan seperti anda! Sebenarnya kami lebih emosi dan sensitif sebab kami orang seni sebab itu boleh jadi pelakon,” ujar Nora.
Dalam perkembangan lain, Nora memberitahu bahawa dia sentiasa terbuka menerima teguran daripada orang ramai namun biarlah dengan adab yang betul.
Selain itu, dia turut mendoakan agar segelintir pihak yang disifatkan sebagai ‘hati hitam’ diberi hidayah oleh Allah SWT di atas perbuatan mereka selain berterima kasih kepada yang mendoakan kebaikan buatnya sekeluarga.
“Kalau kita ada buat salah, tegur. Tak perlu membawang tanpa sebab. Cuba membawang keluarga sendiri tengok apa dia orang rasa.
“Kepada 10 peratus yang hati hitam tu saya doakan Allah beri hidayah pada anda dan bukakan hati anda supaya jadi bersih putih bersinar kembali. InsyaAllah.
“Yang sentiasa memuji, Alhamdulillah syukur, Nora doakan semoga anda mendapat pahala yang banyak kerana membahagiakan kami yang teraniaya,” katanya.
Nora dan Nedim berkahwin pada 30 Mac tahun lalu dan ini merupakan perkahwinan kedua buat mereka.
Nora sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli dan mempunyai seorang anak bernama Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram. – MYNEWSHUB.CC