PELAKON veteran yang dikenali memegang watak sebagai Kak Limah, Delimawati Ismail mengakui teringin bernikah lagi selepas bersolek bak pengantin ketika majlis pelancaran filem Hantu Kak Limah.
Sejak tujuh tahun lalu, Delimawati telah hidup bersendirian selepas dua kali mendirikan rumah tangga sehingga membuatkan dia berasa sunyi tanpa teman.
“Saya pernah berkahwin dua kali… Seorang suami saya meninggal dunia, manakala seorang lagi berpisah.
“Saya tidak mencari, tetapi kalau ada jodoh, apa salahnya. Dalam usia begini, saya cuma mahu seorang teman untuk pergi ke surau.
“Semua artis seusia meluahkan perasaan sama. Kami mahukan teman yang boleh jaga dan bimbing kami bagi menghabiskan sisa-sisa hidup,” katanya ketika ditemui oleh pihak BH Online.
Disebabkan anak-anaknya sudah meningkat dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, dia tidak mahu mereka bersusah payah untuk menjaga dirinya.
Isnin lalu, para pelakon filem Hantu Kak Limah telah menjayakan majlis pelancaran filem yang diarahkan oleh Mamat Khalid itu.
Pada usianya mencecah 60 tahun, Delimawati masih mampu untuk memandu sendiri ke lokasi penggambaran dan menghadiri sebarang majlis.
Namun jauh di sudut hatinya, dia mahukan seseorang yang dapat menemaninya untuk diajak berbual serta dibawa bersama ke mana-mana.
Jejaka pilihannya ialah yang berusia 50 tahun dan apa yang penting haruslah beriman serta mampu untuk membimbingnya hingga ke akhir hayat.
“Pada 1990-an, saya pernah ditimpa kemalangan kerana memandu sendirian. Jadi, timbul kerisauan kepada anak-anak. Mereka pernah menyuarakan pendapat suruh agar berkahwin.
“Namun, mereka tidak pernah mencarikan calon untuk saya. Saya bukanlah ‘gatal’ nak kahwin, tetapi sekadar mahukan teman berborak dan boleh menjaga kita.
“Sekarang saya tinggal dengan anak bongsu di Puchong. Dia akan berkahwin tidak lama lagi. Selepas ini, saya akan hidup sendiri. Takut kalau suatu hari malang, saya terjatuh di rumah seorang diri, tiada siapa yang tahu,” ujarnya lagi.
Sebagai seorang wanita, dia semestinya tidak mahu menjadi orang kedua dalam rumah tangga sesiapa tetapi jika itu takdirnya, dia tidak mampu menolak.
Dalam masa yang sama, ada juga peminat yang menegurnya di media sosial. Tetapi dengan cara itu bukanlah sesuai untuknya menerima sesiapa dalam hidup.
“Kalau dapat, biarlah lelaki yang melapangkan kepala dan dada. Orang takut nak rapat sebab ingat artis ini dianggap ‘high maintenance’ (belanja tinggi). Sudah tua begini, tiada apa yang saya mahu melainkan teman hidup.
“Tetapi kalau yang datang itu mampu menyara dan mahukan saya berhenti berlakon, tiada masalah. Cuma, apabila jadi artis, kadang-kadang gian nak berlakon itu mesti ada… Tak salah kalau sekali-sekala beraksi,” tambahnya.
Ketika ditanya tentang popularitinya sejak membintangi filem dibawah arahan Mamat Khalid, Delimawati akui bahawa karakter yang dibawa sangat sinonim dengannya sehingga ada yang memanggilnya dengan nama karakter yang dibawa.
“Hantu Kak Limah yang banyak mempopularkan saya. Saya mengaku, nama saya ‘naik’ disebabkan Mamat Khalid sejak tersiarnya telefilem Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel pada 1998.
“Saya selesa bekerja dengan Mamat sebab dia faham kita. Disebabkan Kak Limah, budak-budak terus panggil saya dengan panggilan itu. Pada mulanya tak selesa, tetapi apabila terhasil filem kedua dan ketiga, saya terpaksa senyum saja,” katanya lagi. – Mynewshub.tv/AH