KUALA TERENGGANU – Pasukan Terengganu Football Club 1 (TFC 1) kini menyasarkan untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super musim ini bagi mengejar penyertaan dalam Piala AFC.
Ketua Jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim berkata untuk TFC 1 mengejar pendahulu liga iaitu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), laluan agar sukar tetapi beliau percaya dengan usaha keras dan komitmen yang tinggi ditunjukkan para pemain, peluang untuk TFC 1 beraksi dalam Piala AFC adalah tidak mustahil.
“Saya pesan pada anak-anak buah saya mereka kena kerja keras bagi mencapai matlamat itu. Latihan akan diteruskan macam biasa…saya hanya bagi pelepasan pada Hari Raya dan sehari selepas itu latihan diteruskan macam biasa,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Katanya, latihan itu juga dilakukan sebagai persediaan menentang JDT bagi saingan Liga Super pada 19 Jun ini.
Mengulas kejayaan menamatkan badi kekalahan menentang pasukan PKNP dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu lepas, beliau berpuas hati dengan komitmen para pemain terutama barisan benteng pertahanan pasukan itu.
“Mendapat tiga mata pada perlawanan itu cukup penting apalagi sebelum ini kita kalah dua kali dengan PKNP…cuma saya risau hantaran bola tinggi yang sering dilakukan pemain…satu kelemahan sebab pasukan TFC 1 antara pemain yang rendah dalam kalangan pasukan lain,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, TFC 1 mengalahkan PKNP 2-1. – BERNAMA