SETELAH sekian lama ramai yang bertanya-tanya siapakah jejaka yang berjaya memikat hati pelakon Fasha Sandha, kini tersebar pula satu video dirinya dengan jejaka tersebut.
Fasha namun menafikan hubungan percintaannya bersama aktor Aidil Aziz dan hanya menyifatkan mereka sekadar bersahabat baik walaupun terdapat video menujukkan mereka sedang berpelukan di luar lapangan terbang.
Pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hasan bagaimanapun enggan mengulas dengan lebih lanjut berkenaan penularan video yang dirakam oleh orang awam itu.
“Saya tak nak komen lebih lanjut mengenai video yang tular itu dan saya tak akan komen apa-apa. Tak nak memanjangkan lagi isu itu.
“Buat masa sekarang saya tak bersedia lagi nak bercakap tentang hubungan kami,” kata Fasha ketika ditemui oleh pihak portal mStar Online semasa malam gala filem Blok 404 semalam.
Dalam masa sama, Fasha turut menegaskan bahawa dirinya masih ‘single but not available‘ (solo tapi sudah berpunya) namun tetap mengakui Aidil merupakan kawan lelaki yang rapat dengaannya.
Selain itu, difahamkan mereka juga telah menjalinkan hubungan baik selepas bekerjasama dalam sitkom Mamu Mami Gosip sekitar awal tahun ini.
Walaupun Fasha tidak mengakui hubungan istimewanya bersama Aidil, tetapi ramai peminat sudah dapat ‘hidu’ status mereka sekarang, lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya sering kelihatan bersama sejak kebelakangaan ini.
Malah, Aidil turut ada bersama dengan Fasha ketika 1 Syawal lalu dan gambar mereka bergambar telah menguatkan lagi hubungan itu.
Sebelum ini, nama Aidil hangat dikaitkan dengan isu dadah selepas dia telah ditahan selama dua bulan di penjara atas kesalahan berkaitan bahan terlarang itu sekitar tahun 2016 lalu. – MYNEWSHUB.CC/AH