PUTRAJAYA – Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan memberi tumpuan dalam mereformasikan TVET menjadi pilihan setaraf atau lebih baik daripada bidang ijazah atau ijazah sarjana.
Pengerusinya, Nurul Izzah Anwar berkata pemerkasaan TVET akan melalui beberapa fasa dengan fasa yang pertama dimulakan dengan pertemuan bersama beberapa pihak berkepentingan.
“Pertemuan ini saya mahu lakukan dalam tempoh kurang dua bulan melibatkan pihak industri, kerajaan, swasta dan pelajar,” katanya selepas mesyuarat bersama Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran di sini hari ini.
Beliau juga mahu TVET di negara ini diperkemas dan teratur dengan laporan-laporan mengenainya sebelum ini tidak diabaikan.
“Banyak laporan yang diterima sebelum ini yang telah diperincikan seperti daripada Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Boston Consulting Group yang diselia di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan.
“Saya percaya apa sahaja yang kita putuskan nanti harus kita lakukan dengan usaha yang wajar,” katanya, sambil menambah pemerkasaan TVET juga adalah untuk mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0).
Kulasegaran dalam pada itu berkata kerajaan ketika ini membelanjakan kira-kira RM4.5 bilion secara tahunan untuk TVET yang diurus tujuh kementerian yang sepatutnya diseragamkan.
“Kebanyakan institusi TVET mempunyai hanya 70 peratus kapasiti pelajar dan antara rancangan yang akan dilakukan adalah untuk memberi peluang kepada pelajar yang tidak layak dari segi akademik tetapi mempunyai minat dalam bidang ini,” katanya.
Antara sebab pelajar tidak mahu meneruskan pengajian dalam bidang TVET adalah kerana tiada ‘tangga’ akademik untuknya di negara ini seperti di Jerman.
“Di Jerman, pengajian TVET diberi hingga ke peringkat sarjana PhD, di negara ini masih belum ada kerana terdapat perbezaan dari segi pendidikan biasa dan TVET. Oleh itu, menjadi hasrat kita untuk memperkasa TVET hingga ke peringkat seperti itu,” katanya. – BERNAMA