KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar umat Islam berusaha memajukan diri dalam sektor perniagaan dan ekonomi sebagaimana digalakkan agama.
Baginda bertitah menurut Islam, satu daripada 10 punca rezeki datang daripada perniagaan, justeru Allah telah menjanjikan keuntungan kepada sesiapa yang berusaha dalam bidang itu.
Menurut baginda, bidang usahawan boleh dilaksanakan dengan lebih efisien dan produktif melalui inisiatif serta bimbingan agensi-agensi pembangunan usahawan serta dewan perniagaan.
Titah baginda, Perlis juga mempunyai kelebihan kerana mempunyai hubungan rapat dengan enam wilayah Andaman di Thailand, yang membolehkan pelbagai program usahawan dirangka dengan fasilitasi pelbagai pihak antaranya Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).
“Perlis dan wilayah-wilayah Andaman boleh menggandakan penganjuran pelbagai ‘Program Promosi Produk Tempatan’ di kedua-dua negara secara berperancangan, kolektif dan berterusan,” titah baginda menerusi kenyataan akhbar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini, hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Jannatul Hasanah di Koh Lanta, Thailand petang semalam.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah bagi memantapkan kerjasama dua hala antara Perlis-Thailand itu, kajian komprehensif perlu dilaksanakan dan diselaraskan dalam bentuk konvensyen atau bengkel.
“Lawatan timbal balas dua hala dalam usaha memantapkan hubungan perdagangan juga perlu dilaksanakan dan sebarang kelemahan sedia ada perlu diperbaiki dan ditambah nilai,” titah baginda. – BERNAMA