JOHOR BAHRU – UMNO diyakini mampu kembali menjadi sebuah parti yang kuat sekiranya soal kredibiliti dan integriti pemimpin dan anggota parti itu dapat diatasi.
Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata perkara berkenaan merupakan pandangan yang disampaikan para pegawai kerajaan dan golongan profesional hasil pertemuan beliau dengan mereka, baru-baru ini.
“Mereka kata (pegawai kerajaan dan golongan profesional) masalah UMNO ini ialah soal kredibiliti dan integriti. Kalau dua perkara ini boleh diatasi, maka, UMNO boleh kembali kuat semula,” katanya berucap pada majlis sambutan Aidilfitri UMNO Johor di sini malam ini.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata untuk kembali kukuh, UMNO perlu mengetepikan mereka yang terpalit dengan skandal atau sebagainya.
“Dirikan barisan yang kuat, yang tiada cerita langsung mengenai skandal. Kemukakan mereka ini (barisan yang kuat), insya-Allah, UMNO akan kembali mendapat sokongan Melayu dan bukan Melayu,” katanya.
Sementara itu, Tengku Razaleigh mengingatkan kepada mereka yang bertanding pada pemilihan parti bahawa usaha memulihkan UMNO bukan kerja mudah.
Katanya pemilihan kali ini bukan untuk memilih mereka menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri atau pun mengejar jawatan, kontrak mahupun projek.
“Kalau saudara saudari terima saya, saya hendak bantu kukuhkan UMNO. Ini bukan kerja mudah… Ini kerja hendak bangunkan orang Melayu, mantapkan parti orang Melayu supaya mendukung perjuangan kita.
“Kalau UMNO kuat, kita ajak bangsa lain bersama kita. Itu niat kita. Kita sekarang tiada kuasa kecuali perjuangan,” katanya. – BERNAMA