1. SEJARAH terpahat pada 9 Mei lalu dan apa yang terjadi sudah sebati dalam kalangan sekalian rakyat. Mahu tidak mahu, semuanya mesti ditelan oleh rakyat. Lebih perit lagi, ia menjadi ubat pahit yang mesti ditelan bulat-bulat oleh ahli UMNO.
2. Sejarah gemilangnya sejak lebih 60 tahun, terkubur sekelip mata tanpa ada nisannya. Lebih menyedihkan, apabila rakan-rakan kongsinya satu demi satu meninggalkan parti keramat orang Melayu itu dan membawa diri. Tidak kurang juga yang berpaling tadah, menyeberangi jambatan dan memutuskan tali silaturrahmi kepartian siasah.
3. Dalam hiruk pikuk itu, UMNO berdepan dengan tuntutan menjalankan persidangan tahunan di peringkat cawangan. Sudahlah masih terpingga-pingga dek kekalahan, terpaksa pula berdepan setiap anggotanya di peringkat akar umbi. Menerima tempias, rasa marah, dimuntahkan segala kekesalan pada setiap persidangan cawangan.
4. Namun, segalanya itu digagahi jua. Mungkin hikmah Ramadan turut membekaskan keyakinan kepada semua yang terlibat, bahawa rahmat dari Allah SWT akan sentiasa bersama-sama mereka yang cekal dan tidak pernah kenal erti berputus asa.
5. Alhamdulillah, tanggal 10 Jun lalu menyaksikan semua cawangan-cawangan UMNO berjaya melunaskan ‘hutang’ persidangan dengan segala ikhtiar, bersidang di mana sahaja – dewan kecil, hotel bajet, rumah persendirian mahupun di warung. Senario yang memugarkan kembali kenangan tentang erti sebuah perjuangan sejak dekad bersilih ganti.
6. Cabarannya kini terletak kepada peringkat bahagian, yang perlu mengadakan mesyuarat selewat-lewatnya 30 Jun nanti. Ia tentunya menjanjikan persidangan yang sengit. Bermulalah pemilihan pucuk pimpinan peringkat bahagian serta satu-satunya jalan memilih tampuk pimpinan UMNO di peringkat paling tinggi.
7. Apa yang jelas, untuk kesekian kalinya UMNO akan diuji dalam penentuan hala tuju dan masa hadapannya. Tentang percaturan yang dapat membawa parti itu kembali menjunjung keluhuran dan kesetiaan janji-janjinya buat umat Melayu.
8. Itulah kelebihan yang tidak tolok bandingnya. Kelebihan menjadi sebagai satu-satunya parti tunggal yang mampu membawa agenda Melayu. UMNO perlu memastikan segalanya itu tidak terkubur, sebagaimana terkuburnya impian untuk kembali menjadi pemerintah pasca Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
9. Sudah pasti di dalam setiap pertandingan, pasti ada pihak yang menang dan sebaliknya. Yang bakal dilantik sebagai pemimpin, perlu ada kesedaran bahawa anda sekarang orang pembangkang. Kerja anda adalah membangkang dan bukan hanya bangkang membuta tuli.
10. Maka jadilah pembangkang yang konstruktif, yang sentiasa memberikan jalan keluar yang terbaik kepada setiap masalah dan dugaan yang ditempuhi tidak hanya dalam kalangan ahli parti, tetapi juga orang Melayu, Islam, kedaulatan raja-raja dan maruah serta masa depan tanahair.
11. Pemilihan siapa pun jua nanti akan jadi penentu kepada survival UMNO – sama ada terus bangkit atau mati berdiri (die standing). Oleh itu, bertanggungjawablah para pemimpin yang menawarkan diri dan berkempen untuk diri dan pasukannya.
12. Tidak perlulah dibawa kemewahan yang kian merosot dan gaya kepimpinan angkuh, sombong dan takabbur itu. Paling utama, janganlah dibawa semangat karaoke, naik sheikh berdangdut, kaki betina dan berpoya-poya itu untuk kembali subur dalam parti yang ibarat telur di hujung tanduk ini. Usahlah dipilih mereka yang sarat skandal, mahupun ia terbukti tidak benar di mahkamah dunia. Kerana sesungguhnya, parti telah kalah dek fitnah dunia ke para pemimpin kita.
13. Usahlah momokkan ahli dengan saranan kosong untuk mengembalikan UMNO lebih baik dari semalam. Malah tidak kurang yang mengumpan kononnya gagasan kerajaan hari ini akan lebur tidak sampai setahun jagung. Tak perlu memberi tazkirah bahawa UMNO akan kembali jadi kerajaan pada PRU ke-15 nanti. Usah bazirkan tenaga dan daya fikir dengan menabur janji-janji manis itu.
14. Apa yang perlu adalah keikhlasan untuk berpencak di gelanggang pemilihan dengan membawa bekalan, bukannya bergalaskan kedudukan atau pangkat. Bukan pula kerana menang dalam PRU atau sebaliknya kerana hakikatnya UMNO telah kecundang. Tetapi membawa imej dan maruah diri yang masih tersisa, untuk sebenar-benarnya berjuang bersama parti. Berbekalkan Bersetia, Bersatu dan Berkhidmat.
15. Keduanya, para pemimpin yang menawarkan diri juga tidak perlu mengenang kisah silam terlalu dalam. Segalanya sudah berakhir. Bangun dan mandilah dengan keringat terik matahari demi kelangsungan parti.
16. Kemukakan tawaran-tawaran baharu. Usah beri harapan yang tiada kesudahannya. Usah jadi orang politik yang hanya tahu berjanji tetapi bukan mahu menunaikannya. Usahlah tergolong dalam mereka yang munafik. Berilah tawaran dengan nawaitu menjadikan parti lebih dinamik, berdaya saing, progresif untuk orang-orang Melayu dan tanahair ini.
17. Bukankah sudah banyak teladan yang dapat digarap sekalian pimpinan parti ketika bermusafir, berumrah dan ziarah di segenap penjuru alam sejak dahulu lagi. Tentunya banyak pengajaran dan ilmu yang dapat dikutip sepanjang perjalanan bermewah-mewah itu. Sudah tentulah banyak panduan dan amalan terbaik dalam melakarkan landskap baharu UMNO nanti.
18. Ketiga, ketepikan soal persahabatan, kekeluargaan dan pasukan semata-mata untuk menang dalam pemilihan. Kata nak jadi baru, tapi mentaliti masih berpuak-puak. Yang mahu memilih pemimpin, haruslah rajin menilai dan melihat pretasi serta kemampuan sebenar calon-calon. Jangan jadi pemalas. Jangan menjual maruah dek timbal balas dan penghargaan bernilai RM300. Jangan semberono memilih hanya dibelanja calon dengan hidangan burung puyuh goreng kunyit.
19. Keempat, carilah mereka yang cerdas tindakan dan pemikirannya. Orang yang sentiasa baru dan suka memperbaharui. Mereka yang sentiasa bersifat marhaen, menerima teguran dengan berlapang dada, sentiasa mudah didekati dan tawaduk dalam pemikirannya. Yang mampu menawarkan khidmat 200% dan 24 jam sehari khidmat kepada parti dan seluruh isinya.
20. Paling utama, mestilah savvy dengan perubahan semasa, tidak kekok dengan Uchuk Rever. Sentiasa berkebolehan dan tuntas dalam mengendalikan strategi perang saraf. Mesti mampu jadi panglima perang yang dianggotai hanya beberapa kompeni dan bukan lagi batalion tetapi masih mampu melancarkan serangan balas peluru berpandu jarak jauh.
21. Jika pilihan raya umum kelak diadakan dalam tempoh maksimum lima tahun lagi, UMNO hanya ada 1,825 hari lagi untuk bersiap siaga menghadapinya. Segalanya telah terjadi dan masanya untuk parti bangkit dan mendepani segala cabaran. Kekalahan yang terlalu banyak hikmahnya. Benar kata pepatah, Allah works in mysterious ways.
Oleh: Nor Azman Hasbullah, Ahli UMNO Bahagian Kulai, Johor