KERANA terlelap, seorang pemandu treler maut apabila tercampak keluar sebelum dirempuh oleh sebuah kereta dari lorong bertentangan.
Lapor Daily Mail, mangsa Yuttapong Hawilee, 39, gagal mengawal kenderaannya di lorong kiri lalu masuk lorong kanan sehingga merempuh tembok pembahagi jalan di Chonburi, Thailand pukul 10.30 pagi semalam.
Kejadian yang dirakam daripada dashcam kenderaan saksi itu menunjukkan bagaimana mangsa tercampak keluar dari trelernya sebelum dilanggar kereta saksi, jenis Honda Accord.
Pasukan paramedik tiba dan segera membawa mangsa ke hospital, namun mangsa meninggal selepas beberapa jam kemudian akibat dari kecederaan yang dialaminya.
Polis kini sedang menyiasat punca kemalangan itu dan tidak menolak kemungkinan mangsa mungkin tertidur ketika memandu yang menyebabkan kenderaannya hilang kawalan.
“Dari apa yang kita tahu, treler ini tiba-tiba merempuh tembok, tetapi kita perlu cari punca kemalangan ini.
“Dari siasatan awal, polis percaya pemandu treler mungkin tertidur atau elak kenderaan lain. Polis juga percaya mangsa tidak memakai tali pinggang keselamatan ketika itu,” kata jurucakap polis yang dipetik portal berkenaan.
Sementara itu, kereta Honda Accord yang terlibat dalam kemalangan itu dibawa ke sebuah bengkel untuk dibaiki dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan. – MYNEWSHUB.CC