KUALA LUMPUR – Biarpun gagal dikesan pihak polis sejak sembilan hari lalu, Datuk Seri Jamal Yunos menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti akan datang.
Selain bertanding jawatan sayap itu, beliau turut mengumumkan akan bertanding sebagai Ahli Majlis Tetinggi UMNO bagi merebut jawatan berkenaan dalam pemilihan yang dijadualkan pada hujung bulan ini.
Menerusi satu kenyataan, Jamal berkata keputusan tersebut diambil selepas menerima pandangan, sokongan serta nasihat yang diberikan rakan-rakan perjuangan.
“Saya Jamal Md. Yunos menawarkan diri bertanding sebagai calon untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2018-2021,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Kenyataan penuh Jamal tersebut dimuat naik di laman Facebook UMNO, semalam dan kemudiannya disebarkan rakannya Iqbal Khalid di laman sosial berkenaan, hari ini.
Dalam kenyataan itu juga, Jamal menyifatkan tujuan beliau menawarkan diri bertanding jawatan itu adalah untuk membina semula semangat perjuangan semua ahli UMNO di seluruh negara terutama kepada Pemuda untuk bersama-sama meneruskan perjuangan.
“Marilah kita bersama-sama bangkit demi semangat perjuangan suci untuk membantu mendapatkan kembali sokongan dan kepercayaan rakyat,” seru Jamal.
Jamal sebelum ini dilaporkan menjadi buruan pihak polis selepas menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini pada 25 Mei lalu.
Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu disakwa atas tuduhan melakukan kekcohan di tempat awam selepas memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.
Kehilangan Jamal kemudiannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang hadir ke hospital berkenaan pada jam 5.30 petang hari yang sama.
Jamal kemudiannya gagal hadir menyerahkan diri Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya walaupun selepas berjanji untuk berbuat demikian.
Kemudian, dengan latar belakang ladang kepala sawit yang tidak diketahui lokasinya, Jamal mengeluarkan kenyataan video Rabu lepas yang mendakwa menjadi ‘mangsa konspirasi’.
Jumaat lalu, pihak polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan sah minggu lalu.
Selain Jamal, dua lagi nama yang telah mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO adalah Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dan juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. – MYNEWSHUB.CC/EZ