SEORANG wanita yang mahu beri kejutan kepada suaminya dengan melakukan pembedahan pembesaran payu dara, meninggal dunia selepas 13 bulan berada dalam keadaan koma.
Susulan itu, siasatan terhadap kematian wanita tersebut, Galina Rakushina, 30, telah dilancarkan pihak berkuasa Rusia. Ia disiasat sebagai kes jenayah.
Menurut laporan, Galina mahu mengejutkan suaminya dengan membesarkan payu dara selepas mempunyai dua anak. Bagi tujuan itu dia menyimpan wang untuk membolehkan pembedahan dilakukan.
Galina diberikan anaesthetic pada 17 April tahun lepas setelah jantungnya terhenti.
Meskipun jantungnya kembali pulih namun dia tidak diberikan pengawasan selama beberapa minit menyebabkan otaknya tidak mendapat oksigen.
“Denyutan jantungnya berhenti lebih tiga minit,’’ lapor Ren TV.
Ketika ambulans tiba, dia sudah berada dalam keadaan koma dan tidak pernah sedar selama 13 bulan.
Galina berkahwin dengan Alexander Rakushin dan memperoleh dua anak iaitu Milena, 10, dan seorang lagi anak lelaki berusia enam tahun.
Ia bukan kes pertama melibatkan kematian dalam pembedahan plastik di Rusia. Bulan lepas, seorang wanita, Natalia Orlova, 54, meninggal dunia di sebuah klinik dikenali sebagai MedLounge.
Natalia menjalani facelift namun selepas itu dia mengalami sakit tulang belakang diikuti dengan kegagalan hati dan buah pinggang. – MYNEWSHUB.CC