KLUANG – Seorang warga tua yang dipercayai dalam perjalanan pulang untuk berbuka puasa, maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas ke dalam parit di Kilometer 70.1 Jalan Batu Pahat-Mersing, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa Marzuki Othman, 63, disahkan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari bandar Kluang ke Kahang.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa tiba-tiba gagal dikawal sebelum terbabas dan memasuki ke laluan bertentangan.
“Kenderaan pacuan empat roda berkenaan terbabas ke dalam parit menyebabkan mangsa disahkan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.
Mohamad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengetahui punca sebenar kejadian. – BH ONLINE