SHAH ALAM – Seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) rentung selepas rumah didiaminya di Jalan Haji Ehsan, Kampung Sungai Tengar, Sabak Bernam musnah dalam kebakaran, awal pagi ini.
Mangsa dikenali Ahmad Arshad, berusia dalam lingkungan 70-an ditemui di ruang tamu rumah kelas A berkeluasan 40X40 kaki persegi yang musnah seratus peratus dalam kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Anuar Abu Bakar, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 7.14 pagi dan menghantar dua jentera berserta 13 anggota ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, kami temui seorang warga emas dalam keadaan rentung di ruang tamu rumah kira-kira 7.46 pagi.
“Mayat mangsa yang difahamkan terperangkap dalam kejadian itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa berada bersama isteri dan seorang anaknya ketika kejadian, namun kedua-dua mereka sempat menyelamatkan diri daripada kebakaran itu.
Katanya pihaknya sedang melakukan kerja-kerja ‘overhaul‘ memastikan lokasi kejadian selamat dan punca kejadian dan jumlah kerugian sedang disiasat. – BERNAMA