MOSCOW – Zon penyokong rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Moscow akan ditutup esok susulan kemungkinan berlakunya cuaca buruk termasuk kilat dan tiupan angin kencang, kata pihak berkuasa Moscow, hari ini.
Tiada perlawanan Piala Dunia yang dijadual di Moscow, esok memandangkan aksi Perancis bertemu Argentina berlangsung di Kazan sementara aksi membabitkan Uruguay dan Portugal di Sochi.
Penyokong bola sepak yang mahu menyaksikan aksi pusingan 16 terbaik yang sepatutnya ditayangkan menerusi skrin besar di zon penyokong di Sparrow Hills berdekatan Moscow State University perlu mencari venue alternatif.
“Zon penyokong di Sparrow Hills akan ditutup buat sementara waktu pada Sabtu, 30 Jun,” kata jabatan pelancongan dan sukan bandar raya City menerusi satu kenyataan.
“Keputusan ini diambil memandangkan cuaca buruk dijangka akan melanda termasuk tiupan angin kencang pada sebelah pagi dan juga sebelah petang.”
Zon penyokong adalah kawasan yang popular untuk rakyat tempatan dan juga penyokong asing yang mampu memuatkan 25,000 orang namun diberi amaran kerana terlalu padat, baru-baru ini.
“Malangnya, ribut dan puting beliung tidak lagi asing di Moscow. Ada amaran ribut dikeluarkan untuk kawasan ini,” kata Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin menerusi akaun Twitter.
“Untuk keselamatan anda, larangan untuk operasi di taman dan jualan di tepi jalan dikeluarkan termasuk penutupan sementara zon penyokong di Sparrow Hills.” – Reuters