BANGKOK – Ramai orang dikhuatiri maut dan ratusan mangsa lain masih hilang, selepas sebuah empangan hidroelektrik yang sedang dalam pembinaan di Laos runtuh sehingga menyebabkan banjir kilat yang menghanyutkan banyak rumah, lapor media tempatan, hari ini.
Agensi berita ABC Laos melaporkan, pihak berkuasa sudah membawa bot untuk membantu memindahkan penduduk di daerah San Sai, negeri Attapeu iaitu lokasi empangan hidroelektrik Xepian-Xe Nam Noy, ketika paras air meningkat, selepas empangan itu runtuh.
Syarikat yang membina empangan itu berkata, hujan lebat dan banjir menjadi punca struktur itu runtuh dan ia sedang bekerjasama dengan kerajaan Laos untuk menyelamatkan penduduk beberapa kampung berhampiran empangan itu.
“Kami mengerahkan pasukan kecemasan dan merancang untuk membantu memindahkan penduduk berhampiran empangan ini,” kata jurucakap SK Engineering & Construction menerusi telefon.
Empangan itu runtuh pada jam 8.99 malam semalam sehingga menyebabkan air dianggarkan berjumlah lima bilion meter padu melimpah dan ratusan orang hilang serta banyak rumah dihanyutkan, lapor Lao News Agency.
Katanya, ramai dilaporkan maut. – Reuters