BUTTERWORTH- Seramai 118 pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyertai Eksesais Pitch Black 2018 mulai 27 Julai hingga 17 Ogos ini di Darwin, Australia.
Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Ab Wahab berkata penyertaan kali kedua TUDM dalam eksesais berskala besar itu turut melibatkan lima pesawat F/A-18D Hornet daripada Skuadron No 18 dan sebuah pesawat A400M (Skuadron No 22).
“TUDM mengambil bahagian dalam Eksesais Pitch Black buat pertama kalinya pada 2008. Tahun-tahun berikutnya kita tidak berupaya mengikuti eksesais ini kerana kekangan kewangan.
“Kita mempunyai kapasiti untuk menghadiri latihan pada tahun ini dengan peruntukan kewangan yang telah dibajetkan tahun lepas. Saya berharap eksesais ini dapat meningkatkan kemahiran kompetensi anak-anak kapal terutamanya anak kapal jet pejuang di arena yang lebih luas,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis pelepasan peserta Eksesais Pitch Black di Pangkalan Udara Butterworth, di sini hari ini, yang turut dihadiri wakil Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Kapten Wendy Horder.
Latihan Pitch Black, yang dianjurkan RAAF, bertujuan membantu petugas angkatan udara untuk mengamalkan pertempuran operasi lawan udara (OCA) dan Kaunter Pertahanan Udara (DCA) dalam persekitaran simulasi peperangan.
Abdul Mutalib berkata selain meningkatkan kemahiran, eksesais itu juga memberi peluang kepada pegawai dan anggota untuk menguasai bahasa Inggeris.
Sementara itu, wakil peserta eksesais itu Mejar Kamal Jusri Kamalruzaman, 34, melahirkan rasa bangga kerana sekali lagi terpilih menyertai acara tersebut selepas kali pertama pada 2008.
“Eksesais ini amat memberi impak kepada kami secara khasnya dan TUDM secara amnya untuk mendalami serta meneroka apa yang kami belajar dan praktis di sini untuk dimanfaat di sana,” katanya yang berkhidmat dengan TUDM selama 16 tahun.
Eksesais dwitahunan tiga minggu itu membabitkan penglibatan dari pelbagai negara termasuk Australia, Kanada, Perancis, New Caledonia, Jerman, Indonesia, Belanda, New Zealand, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat serta Malaysia, dikendalikan secara berpusat di Pangkalan Udara RAAF Darwin dan Tindal.
Ia meliputi skala latihan berspektrum penuh yang menampilkan pelbagai ancaman realistik dan simulasi dalam persekitaran ruang pertempuran moden bagi memberi peluang peserta untuk menguji dan meningkatkan daya integrasi serta perpaduan angkatan udara. – BERNAMA